AM

Nasib Warga Emas Hilang Tempat Tinggal Dapat Perhatian ADUN Duyong

30/03/2026 06:33 PM

MELAKA, 30 Mac (Bernama) -- Nasib warga emas yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada Sabtu lepas mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang berjaya mengumpulkan RM90,000 bagi meringankan beban wanita itu. 

Mohd Noor Helmy berkata wang tersebut akan digunakan untuk membaik pulih rumah didiami Fatimah Ahmat, 69, bersama-sama lima cucunya yang dijangka menelan kos RM85,000, selepas kediaman berkenaan musnah sepenuhnya dalam kejadian pada 10 malam itu.  

Beliau berkata sumbangan wang tunai itu diterima daripada pelbagai pihak selain mereka juga menerima sumbangan buku teks dan baju sekolah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong.

“Kalau harap satu agensi tanggung memang tak lepas nak dapat (kos baik pulih), jadi kongsi seorang sedikit. Selesai (kumpul sumbangan) dalam satu jam. Alhamdulillah. 

“Semua agensi datang dengan mandat. Agensi Persekutuan dengan mandat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan agensi negeri dengan mandat Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.  

Mohd Noor Helmy berkata sumbangan diterima daripada Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang menyumbangkan RM20,000, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM - RM20,000), Lembaga Perumahan Melaka (RM20,000) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM - RM10,000).

Selain itu Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyumbang RM5,000, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (RM5,000), Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (RM4,000), Pengurus Bank Rakyat Melaka (RM1,000) dan Persatuan Automotif Melaka (RM5,000).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539066