MELAKA, 30 Mac (Bernama) -- Seorang penganggur ditahan kerana disyaki terlibat dalam lima jenayah pecah rumah di kawasan Ayer Keroh dan sekitarnya dalam tempoh 16 Jan hingga 21 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata lelaki berusia 46 tahun itu yang disyaki melakukan jenayah berkenaan secara bersendirian ditahan ketika sedang cuba memecah masuk sebuah rumah di kawasan perumahan di Ayer Keroh kira-kira 2 pagi pada 21 Mac lepas.
"Suspek berkenaan ditahan dalam Op Petong hasil risikan yang dijalankan bagi menumpaskan jenayah pecah rumah yang dilaporkan berlaku di Ayer Keroh dan sekitarnya dalam tempoh cuti Aidilfitri lepas.
"Modus operandi suspek menyasarkan rumah dalam kawasan yang mempunyai pengawal keselamatan tetapi tidak berpenghuni atau ditinggalkan dalam tempoh tertentu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau termasuk 15 kes jenayah pecah rumah dan ditahan direman sehingga 2 April di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Selain itu polis turut merampas pelbagai barangan kes termasuk telefon bimbit, pakaian, sarung tangan dan kereta Honda Jazz yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah berkenaan.
Christopher berkata dengan penahanan suspek polis percaya sebanyak lima kes jenayah pecah rumah yang dilaporkan berlaku di daerah Melaka Tengah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini telah berjaya diselesaikan.
-- BERNAMA