JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Terlibat 30 Kes Pecah Kedai Tumpas

30/03/2026 06:44 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Tindakan seorang lelaki yang bergerak secara solo atau “lone ranger” melakukan siri pecah kedai dan premis di sekitar ibu kota berakhir apabila dia ditahan polis menerusi Ops Cash Box pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju SAC Mohamad Lazim Ismail berkata suspek warga tempatan berusia 44 tahun itu dipercayai terlibat sekurang-kurangnya dalam 30 kes pecah kedai dengan anggaran kerugian berjumlah RM59,546.

Beliau berkata tangkapan dilakukan oleh polis Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah Wangsa Maju hasil risikan yang dijalankan sejak Julai tahun lepas.

“Suspek yang mempunyai 26 rekod jenayah lampau itu dikesan baru sahaja dibebaskan dari penjara pada Mac 2025 atas kesalahan serupa, namun kembali aktif melakukan jenayah bermula Julai tahun yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini.

Mohamad Lazim berkata modus operandi suspek menyasarkan premis yang mempunyai pintu cermin serta aktif pada waktu tengah malam atau awal pagi bagi mengelakkan dikesan orang awam.

“Suspek akan menggoncang pintu cermin premis dan sekiranya gagal, dia akan menggunakan batu untuk memecahkan cermin berkenaan sebelum melarikan peti wang tunai (cash box) di dalam kedai itu,” katanya.

Beliau berkata suspek yang juga seorang gelandangan sering berpindah-randah termasuk tidur di masjid bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil tangkapan polis turut merampas dua motosikal yang dilaporkan dicuri di Jinjang dan Dang Wangi, selain 11 barangan lain yang digunakan untuk aktiviti jenayah.

“Satu daripada motosikal itu ditemukan disembunyikan di bawah tangga sebuah bangunan di Muar, Johor, dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah di luar kawasan Kuala Lumpur,” katanya.

Mohamad Lazim berkata pecahan kes menunjukkan suspek paling aktif di Wangsa Maju dengan 11 kes, diikuti Dang Wangi (tujuh), Cheras (enam), Sentul (empat) dan Brickfields (dua).

“Suspek kini direman sehingga 2 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539052