Oleh N.Sevagamy
KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Ketika semakin banyak negara melaksanakan dasar berkerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan impak gangguan bekalan minyak global, tanggungjawab undang-undang berkaitan keselamatan data tetap terletak di bahu majikan dan pekerja, kata peguam Datuk J Shamesh.
Beliau berkata pekerja perlu mengekalkan kerahsiaan dan bertindak dengan niat baik manakala majikan pula bertanggungjawab menyediakan sistem yang selamat serta langkah perlindungan bagi menjaga maklumat sensitif.
“Bekerja secara jarak jauh tidak mengurangkan tanggungjawab pekerja kerana kewajipan untuk melindungi maklumat sulit kekal di bahu mereka.
“Di bawah Seksyen 9 Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 , pengguna data perlu mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi data peribadi dengan mengambil kira jenis data, risiko yang terlibat, serta persekitaran di mana data disimpan atau diproses, termasuk dalam situasi kerja jarak jauh,” katanya kepada Bernama.
Beliau memberi amaran bahawa kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja boleh berdepan tindakan jenayah, termasuk hukuman penjara selama beberapa tahun, sekiranya gagal melindungi data syarikat dan pelanggan di bawah PDPA.
Shamesh berkata walaupun data di pejabat lazimnya dilindungi oleh tembok api atau firewalls bertaraf perusahaan serta kawalan keselamatan fizikal, penggunaan peranti peribadi dan Wi-Fi rumah yang tidak selamat dalam persekitaran BDR boleh menembusi perlindungan tersebut, sekali gus meningkatkan risiko akses tanpa kebenaran atau pendedahan tidak sengaja.
“Pekerja mempunyai kewajipan tersirat untuk bertindak dengan niat baik dan setia kepada majikan. Menyimpan atau memproses maklumat sulit pada peranti peribadi tanpa kebenaran boleh dianggap sebagai pelanggaran serius,” katanya.
Pakar undang-undang itu merujuk kes Norzuliyana Zulkefli lwn Malayan Banking Berhad (2024), iaitu seorang pekerja yang diberhentikan kerana menyimpan data sensitif pelanggan dalam telefon bimbit peribadi yang kemudiannya diakses oleh pihak ketiga.
Beliau turut merujuk kes Equity Trust (Labuan) Limited lwn Mohammad Sofian Mohamad & Anor (2011), iaitu pemindahan data proprietari ke peranti atau e-mel peribadi diputuskan sebagai pelanggaran kerahsiaan dan kewajipan fidusiari.
Mengenai liabiliti majikan, Shamesh berkata syarikat juga boleh dipertanggungjawabkan di bawah doktrin liabiliti vikarius, khususnya jika kawalan dalaman tidak mencukupi.
Beliau juga merujuk kes Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) lwn Meridian Asset Management Sdn Bhd (2012) 6 MLRH 189, iaitu Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa majikan tidak boleh berselindung di sebalik tindakan pekerja sekiranya prosedur dalaman yang sewajarnya tidak dilaksanakan.
“Mahkamah menegaskan bahawa organisasi profesional mesti melindungi kepentingan pelanggan melalui prosedur operasi yang ketat,” katanya.
Shamesh berkata di bawah Seksyen 9(1) PDPA, setiap organisasi perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah kehilangan, penyalahgunaan atau akses tanpa kebenaran terhadap data sensitif, termasuk memastikan peranti dilindungi dengan penyulitan dan pengesahan kukuh, melatih pekerja yang mengendalikan data, serta memindahkan maklumat melalui saluran yang selamat.
“Kaedah seperti penggunaan ‘rangkaian persendirian maya’ (VPN) dan sistem syarikat yang diluluskan membantu mengekalkan keselamatan data. Seksyen 12B PDPA juga mewajibkan syarikat melaporkan pelanggaran data peribadi dengan segera kepada suruhanjaya bertanggungjawab. Langkah ini membantu membina budaya tanggungjawab dan dipercayai, sekali gus memastikan data kekal selamat walaupun dalam persekitaran kerja jarak jauh,” katanya.
Konsep BDR mula mendapat perhatian meluas semasa pandemik COVID-19, apabila sekatan pergerakan memaksa organisasi beralih dengan pantas kepada operasi jarak jauh, sekali gus mempercepatkan penggunaan digital dan mengubah amalan tempat kerja.
Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memperhalusi pengaturan kerja fleksibel, termasuk BDR bagi penjawat awam untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak global susulan krisis di Asia Barat.
-- BERNAMA