AM

IPU Sarawak Meningkat, 17 Kawasan Pada Tahap Sederhana

29/03/2026 12:05 AM

KUCHING, 28 Mac (Bernama) -- Kualiti udara ambien di Sarawak menunjukkan trend peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), dengan 17 kawasan direkodkan berada pada kategori sederhana manakala satu kawasan mencatatkan kategori baik.

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan itu dipengaruhi oleh fasa peralihan monsun yang dijangka bermula esok hingga Mei, membawa tiupan angin lemah dari pelbagai arah, sekali gus berpotensi memerangkap bahan pencemar di atmosfera.

“Peningkatan paras IPU berkemungkinan berpunca daripada pembakaran terbuka setempat serta jerebu rentas sempadan. Sekiranya keadaan cuaca kering berterusan dan aktiviti pembakaran biomass meningkat, Sarawak berisiko mengalami jerebu,” menurut kenyataan itu.

Menurut NREB, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) sebanyak 241 titik panas telah dikesan di Kalimantan, Indonesia manakala di Sarawak 18 titik panas direkodkan.

“Sehubungan dengan itu, NREB telah mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk mengaktifkan bilik operasi jerebu, melaksanakan rondaan lapangan, menghentikan sementara pengeluaran permit pembakaran terkawal serta mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek.

“Orang ramai disaran mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka terutama bagi golongan berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, NREB memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan berhubung kes pembakaran terbuka di kawasan Kuala Tatau-Serupai, Bintulu dan Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu, dengan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab. 

Orang awam juga diminta melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pejabat NREB berdekatan atau melalui talian hotline 082-447 488 atau 082-319 500, dengan kerahsiaan pemberi maklumat dijamin.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2538578