SUKAN

Azri Sifatkan Haziq Aiman Suntik Persaingan Sihat Menjelang Aksi Vietnam

28/03/2026 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) --Penjaga gol Harimau Malaya Muhammad Azri Abdul Ghani melihat kehadiran penjaga gol muda Haziq Aiman Mohd Esa sebagai perkembangan positif menjelang aksi terakhir Kumpulan F menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027 di Nam Dinh, Selasa ini.

Menurut Azri, kehadiran pemain berusia 21 tahun itu bukan sahaja mengukuhkan pasukan, malah mewujudkan persaingan sihat antara empat penjaga gol negara, termasuk Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Muhammad Haziq Nadzli.

“Saya berharap sesiapa sahaja yang diturunkan akan memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan menentang Vietnam,” katanya dalam rakaman video yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media hari ini.

Azri turut memuji kemajuan ditunjukkan penjaga gol muda Melaka FC itu, yang menurutnya memberi petanda baik untuk masa depan Haziq.

Sementara itu, Vietnam telah mengesahkan tempat ke pusingan kkhir Piala Asia 2027 dengan mendahului Kumpulan F dengan 15 mata, diikuti Malaysia di tangga kedua dengan sembilan mata.  Laos dan Nepal masing-masing berada di kedudukan ketiga dan keempat dengan tiga mata.

Hasrat Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Asia buat kali kedua berturut-turut secara merit tidak kesampaian selepas menerima hukuman pemotongan mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan menentang Nepal dan Vietnam.

--- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2538538