JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Ditahan Jual Mercun, Bunga Api Selepas Permit Tamat

28/03/2026 05:03 PM

KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dipercayai menjual mercun dan bunga api tanpa permit sah dalam operasi di kawasan Dataran Jambatan Angkat, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 tengah malam ketika menjalankan aktiviti perniagaan secara terbuka di kawasan terbabit.

“Polis merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai lebih RM4,000 daripadanya.

"Tempoh penjualan mercun dan bunga api yang diberikan iaitu 25 hari sebelum Aidilfitri dan lima hari selepas hari raya juga telah tamat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan rondaan bagi mengesan serta memantau aktiviti penjualan dan bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam di sekitar Jambatan Angkat.

Azli turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak membakar mercun di tempat awam yang boleh dikenakan tindakan tegas.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2538512