PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ini, tidak akan dikompromi.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata perbuatan menyeleweng subsidi negara merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
"Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seluruh rakyat Malaysia sama ada pengguna, peniaga, pihak industri atau mana-mana organisasi diseru agar bersama-sama menyokong gerakan KITA GEMPUR (Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan) demi manfaat bersama.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan.
"Melalui OPS TIRIS 4.0, KPDN akan memperkukuh kerjasama strategik secara bersepadu dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan yang lain bagi menutup sebarang ruang penyelewengan dan ketirisan," katanya.
Azman berkata selari dengan inisiatif kelangsungan tenaga, KPDN akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan penjualan dan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing serta pelaksanaan kawalan penjualan minyak diesel terhadap kenderaan pengangkutan darat mengikut kategori kenderaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada 1 April ini.
Beliau berkata kementerian itu akan terus memperkukuh elemen penguatkuasaan bagi mengekang isu ketirisan dan penyeludupan selain memastikan kestabilan bekalan barang kawalan terjamin di pasaran meskipun berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik akibat konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
"Iltizam dan usaha berterusan KPDN ini selari dengan saranan dan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga negara terus terjamin dan dapat memenuhi keperluan rakyat," katanya.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam rantaian bekalan barang kawalan, beliau berkata KPDN telah merangka strategi yang lebih agresif bagi mendepani sebarang kemungkinan gangguan bekalan bahan api global yang boleh memberikan kesan langsung kepada ekonomi negara.
Azman berkata beberapa langkah strategik akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan mudah didapati oleh rakyat.
Sebarang aduan atau maklumat berkaitan boleh disalurkan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN https://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.
-- BERNAMA