JOHOR BAHRU, 26 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor memohon dua individu tampil bagi membantu siasatan berhubung kes tular pengisian petrol RON95 ke dalam tong plastik melebihi had dibenarkan di sebuah stesen minyak sekitar Skudai pada 21 Mac lepas.
Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata pihaknya telah menjalankan siasatan lanjut termasuk menjejaki serta mengunjungi alamat terakhir kedua-dua individu terbabit, namun mereka masih gagal dikesan setakat ini.
“Sehubungan itu, pihak KPDN Negeri Johor memohon individu berkenaan untuk segera tampil memberi kerjasama dengan hadir ke Pejabat KPDN Negeri Johor dalam kadar segera bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial yang memaparkan dua individu mengisi RON95 ke dalam tong plastik di but sebuah kenderaan di sebuah stesen minyak sekitar Skudai, dengan siasatan awal mendapati mereka adalah warga tempatan.
-- BERNAMA