KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini, susulan peningkatan harga minyak global.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung pula naik sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
Selain itu, harga petrol RON95 tanpa subsidi turut dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM3.87 seliter manakala harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.
“Konflik Asia Barat yang berlarutan telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.
“Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI95 untuk melindungi rakyat manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat, selaras dengan kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026,” menurut kenyataan itu.
MOF memaklumkan walaupun Malaysia ialah negara pengeluar minyak, harga bahan api domestik tetap dipengaruhi pasaran global kerana sebahagian besar bekalan diperoleh daripada pasaran antarabangsa.
Seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI, MOF memaklumkan kerajaan akan terus memastikan manfaat dikembalikan kepada rakyat dengan melindungi mereka daripada tekanan kenaikan kos bahan api.
Antara langkah yang diambil termasuk pemantauan dan penguatkuasaan diperkukuh bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil serta membendung ketirisan dan penyalahgunaan subsidi termasuk di kawasan sempadan.
Selain itu, kawalan penjualan turut diperketatkan dengan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terus berkuat kuasa manakala pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas juga tidak dibenarkan.
“Melangkah ke hadapan, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel, terutamanya di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menangani risiko ketirisan,” menurut MOF.
Melalui BUDI95, rakyat yang layak terus menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter manakala diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter, dengan beban subsidi kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.
Selain itu, bantuan diesel individu dipertingkatkan apabila kadar BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 pada bulan ini, berbanding RM200 sebulan sebelum ini.
-- BERNAMA