KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- George Kent (Malaysia) Bhd memaklumkan kejayaan melakukan penebusan sukuknya yang berjumlah RM132.0 juta dan diterbitkan di bawah Program Sukuk Wakalah.
Menerusi kenyataan hari ini, George Kent menyatakan penebusan itu dilaksanakan mengikut terma dan syarat program serta pada tarikh matang yang dijadualkan.
Sukuk berkenaan juga ditebus dengan dana dalaman syarikat, sekali gus memaparkan kedudukan aliran tunainya yang kukuh dan pengurusan kewangan yang berhemat.
“Kejayaan penebusan ini jelas memaparkan kedudukan kewangan syarikat yang kukuh serta komitmen dalam memenuhi obligasi kewangan dan pada masa sama mengekalkan kekuatan modal untuk menyokong operasi semasa dan pertumbuhan masa depan.
“George Kent akan terus aktif menguruskan stuktur modal dalam usaha memastikan daya tahan dan kemampanan kewangan bagi jangka panjang,” menurut syarikat itu.
-- BERNAMA