KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Berikut ialah teks penuh perutusan khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai langkah-langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saudara-Saudari yang saya muliakan,
- Saya bicara setelah melihat perkembangan di Asia Barat, negara Teluk, akibat dari serangan ganas Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran, dan sementara kita telah menyatakan pandangan kita dengan keras menentang kezaliman, dan penindasan dan pencerobohan yang dilakukan oleh Israel dan Amerika Syarikat. Masalahnya lebih meruncing kerana tindak balas dari Iran itu bukan sahaja terkena kepada Israel, tetapi tempiasannya ke negara-negara Teluk yang menimbulkan konflik dan ketegangan baru.
- Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu wa ta'ala kerana kita dalam keadaan aman, damai, tetapi tentunya tidak terlepas dari tempiasan ini. Pertama, semua negara ini, Iran, negara-negara Teluk, itu negara sahabat yang akrab dengan kita, berdagang dalam budaya, dalam pendidikan, dalam pelaburan. Jadi, apa yang berlaku di sana itu tentunya mengesankan. Dan saban hari kita dihubungi dan berunding dengan mereka.
- Hari ini, saya dengan Presiden Republik Islam Iran, Presiden Republik Mesir. Semalam, Presiden Turkiye dan semua kepala-kepala negara Teluk. Dan tadi juga kali ketiga berbicara dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif untuk mendapat keterangan tentang langkah-langkah untuk mencari perdamaian di antara kedua negara.
- Tetapi tidak mudah kerana Iran berpandangan mereka tertipu berulang kali dan sukar menerima langkah-langkah ke arah perdamaian tanpa suatu yang boleh mengikat perjanjian dan jaminan keselamatan bagi negara mereka.
- Tempiasannya juga berlarutan ke Lubnan, sudah lebih sejuta yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Dan jangan lupa, pokok pangkal masalah Palestin dan Gaza belum terurus, malah bencana itu menyebabkan mereka lebih sengsara.
- Tapi untuk kita sekarang, kita terpaksa tangani kerana kesan daripada sekatan di Selat Hormuz, kemudian peperangan, bekalan minyak dan gas yang terhenti, semuanya ada kesan kepada kita, walaupun sekali lagi saya katakan, kita dalam keadaan yang jauh lebih baik kerana keupayaan Petronas selama ini.
- Saya ambil kesempatan juga ucapkan terima kasih kepada Presiden Iran, kerana awal memberi laluan dan sekarang kita dalam proses untuk melepaskan kapal minyak Malaysia dan pekerja yang terlibat supaya dapat meneruskan perjalanan mereka pulang.
Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua.Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini.
- Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa untuk menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat. Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini.
- Ini terkait juga dengan langkah ketiga, iaitu penguatkuasaan yang lebih tegas. Semua agensi dan jentera kerajaan harus lebih tegas dan waspada. Kita tidak boleh beri subsidi dan kemudian kita lihat ada penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan. Dan oleh itu, amaran keras harus diberikan sekarang dan setiap langkah penyeludupan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera kerajaan.
Saudara-saudari,
- Saya ingin juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang cakna, dan sementara menerima keputusan ini dengan sabar dan bijaksana, tetapi ramai yang telah mengambil tanggungjawab melapor di stesen minyak, melapor kepada agensi penguatkuasaan tentang penipuan atau melalui media sosial mereka tentang penyalahgunaan ini, sama ada oleh orang asing ataupun orang tempatan yang bersekongkol untuk merompak kekayaan negara.
Saudara-saudari yang dimuliakan,
- Langkah-langkah lain sedang difikirkan termasuk keputusan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah. Penjawat-penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah dan saya percaya insya-Allah, selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini.
- Bagi pihak kerajaan, insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini agak luar biasa, dan terkecuali kerana setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia, kita lihat Malaysia ini masih mendapat tarikan, menjadi pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif sepertimana yang kita umumkan beberapa langkah setelah kemelut dan peperangan ini masih ramai yang datang.
- Jadi kita doakan, biar kekal negara ini aman biar rakyat baik sektor awam dan swasta bekerja secara gigih dan bersungguh-sungguh dan biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi kita dalam tiap ujian, cabaran dari Allah Subhanahu wa ta'ala dan keadaan yang berlaku di dunia masih ada kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
-- BERNAMA