PETALING JAYA, 24 Mac (Bernama) -- Hanya pada usia 25 tahun, pemain piano kelahiran Pulau Pinang, Vincent Ong telahpun menempa nama di pentas muzik klasik antarabangsa, namun kepulangannya ke Malaysia didorong oleh keinginan tinggi beliau untuk memberi inspirasi kepada generasi pemuzik akan datang.
Ong, yang mencipta sejarah sebagai finalis pertama Malaysia dan pemenang hadiah kelima di Pertandingan Piano Antarabangsa Fryderyk Chopin ke-19 yang berprestij pada 2025, kembali ke tanah air bukan untuk mencari tumpuan, tetapi berkongsi "kisah" perjalanan muziknya dengan bakat tempatan melalui siri kelas master dan resital piano.
Melalui kerjasama dengan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah inisiatif MyHeart, pemain piano berbakat besar itu akan mengadakan siri kelas master dan resital piano antara 20 dan 28 Mac, yang bertujuan untuk berkongsi kepakarannya dengan bakat tempatan selain menyumbang kembali kepada komuniti muzik tempatan.
Pemuzik tersebut, yang turut memenangi Hadiah Pertama di Pertandingan Antarabangsa Robert Schumann ke-19 pada 2024, menyifatkan kunjungannya itu sebagai peluang untuk bertemu dengan bakat muda yang sedang membina kerjaya dalam bidang muzik dan menggalakkan mereka mengejar impian dengan penuh keyakinan.
Siri kelas itu dijangka dihadiri lebih 2,200 peserta dari seluruh Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
pic-2
“Saya sangat gembira berada di sini. Ini memberikan saya peluang untuk berkongsi muzik dan pengalaman saya dengan pemuzik muda Malaysia. Saya berharap ia akan memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mengejar impian mereka dengan yakin,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar ‘Vincent Ong: A Homecoming’ di sini, hari ini.
Pemain piano muzik klasik itu berkata sesi kelas interaksi tersebut menyediakan bimbingan kepada pemuzik muda bukan sahaja dalam kemahiran teknikal tetapi juga dalam disiplin, fokus dan apresiasi muzik, kualiti yang dicapainya melalui latihan intensif selama bertahun-tahun di Malaysia dan Berlin.
Pada masa hadapan selain mengekalkan kerjayanya di peringkat antarabangsa, Ong turut berhasrat untuk terus membimbing bakat tempatan melalui kelas induk atau menyertai festival muzik tempatan.
“Mengajar dan membimbing pemuzik muda adalah sesuatu yang saya ingin cuba lakukan pada masa hadapan. Buat masa ini, saya ingin fokus kepada persembahan untuk menimba lebih banyak pengalaman, tetapi saya berharap dapat menjadi mentor dan berkongsi apa yang telah saya pelajari di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengenai kepulangannya, Ong berkata beliau amat teruja dapat bertemu kembali dengan keluarga dan rakan-rakan di samping kepuasan dari segi kerjaya profesionalnya dapat membuat persembahan di pentas yang lebih besar di tanah air sendiri.
Beliau berkata muzik klasik memupuk rasa ketabahan dan fokus tinggi, yang merupakan kemahiran amat berharga bagi golongan muda dalam mendepani dunia yang semakin dikuasai digital.
pic-3
“Pertandingan seperti Chopin dan Schumann telah mengubah hidup saya. Tekanan, perhatian media, khalayak tempatan dan global, telah mengajar saya cara untuk bangkit menyahut cabaran.
“Berkongsi pengalaman ini di sini membantu saya memprosesnya dan, pada masa yang sama, memberikan sesuatu yang bermakna kepada orang lain,” katanya.
Apabila ditanya tentang aspirasi masa depannya, Ong berkata beliau lebih suka mengambil pendekatan selangkah demi selangkah serta berharap dapat mengadakan persembahan di venue berprestij seperti Dewan Filharmonik Petronas suatu hari nanti.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif TalentCorp Group, Edward Ling, berkata inisiatif MyHeart, di bawah Kementerian Sumber Manusia, memberi peluang kepada rakyat Malaysia di luar negara menyumbang kepada negara melalui bimbingan dan perkongsian pengetahuan.
“Merentasi pelbagai sektor, kami melihat semakin ramai rakyat Malaysia di luar negara menyumbang daripada perkongsian kepakaran teknikal dan membimbing bakat muda hinggalah kepada bekerjasama dengan institusi dan industri tempatan.
‘Kerjasama secara berterusan ini mengukuhkan ekosistem bakat kita dan menyediakan ruang kepada rakyat Malaysia belajar daripada amalan terbaik global,” katanya.
-- BERNAMA