KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) terus melakar pencapaian membanggakan apabila 722 pemain muda dari 17 negara dijangka bersaing dalam edisi kedua tahun ini.
Pengerusi penganjur Syed Kebir berkata kejohanan yang akan berlangsung di Gelanggang Skuasy Majlis Sukan Negara di Jalan Duta, serta Gelanggang Skuasy Universiti Malaya dari 31 Mac hingga 5 April itu telah dinaik taraf daripada kategori perak kepada acara bertaraf emas dalam kalendar Litar Skuasy Remaja Asia.
“Apabila kejohanan itu dinaik taraf kepada acara emas oleh Persekutuan Skuasy Asia (ASF), ia menarik lebih banyak penyertaan berbanding tahun lepas, yang menyaksikan 583 pemain dari 14 negara.
“Pemain dari Asia dan Eropah berminat menyertai kejohanan itu kerana mereka boleh meraih lebih banyak mata ranking, sekali gus menjadi kejohanan ini mempunyai daya tarikan utama,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Kejohanan itu mempertandingkan enam kategori umur bagi lelaki dan wanita, iaitu bawah sembilan tahun (B-9), bawah 11 tahun (B-11), bawah 13 tahun (B-13), bawah 15 tahun (B-15), bawah 17 tahun (B-17) dan bawah 19 tahun (B-19).
Daripada jumlah keseluruhan penyertaan, sebanyak 527 pemain adalah dari Malaysia.
Antara peserta yang mencuri tumpuan ialah pemain muda meningkat naik, Maisarah Mohd Khairul Nizam yang muncul juara kategori perempuan bawah 13 tahun dalam edisi tahun lepas.
Terdahulu, kejohanan itu mendapat sokongan Kumpulan Touch ’n Go, yang merangkumi Touch ’n Go Sdn Bhd dan TNG Digital Sdn Bhd, memperlihatkan komitmen berterusan terhadap pembangunan sukan skuasy di Malaysia menerusi lanjutan kerjasama strategik sebagai rakan rasmi Terbuka Remaja SRAFTKL.
-- BERNAMA