SUKAN

Moto3: Hakim Danish Tekad Pamer Aksi Cemerlang Di Cota

24/03/2026 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli bertekad untuk meneruskan momentum positif pada pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Americas (COTA) di Austin, Texas pada hujung minggu ini.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berkata beliau sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran di COTA selepas membuat persiapan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental dan teknikal perlumbaan.

Anak kelahiran Terengganu itu berkata beliau kini mempertingkatkan usaha untuk memperbaiki teknik tunggangan bagi menyesuaikan diri dengan ciri-ciri unik litar COTA yang menampilkan 20 selekoh mencabar sepanjang laluan sepanjang 5.513 kilometer (km).

“Ini adalah kali pertama saya berlumba di COTA, jadi ia satu pengalaman baharu dan sudah tentu mencabar bagi saya. Litar ini sangat teknikal, dengan 20 selekoh dan beberapa selekoh tajam yang memerlukan tahap fokus dan ketepatan yang tinggi. Oleh itu, saya perlu menyesuaikan diri dengan cepat.

“Saya akan cuba mencapai kelajuan secepat mungkin seawal sesi latihan supaya saya dapat mengekalkan rentak dan bersaing dengan lebih pantas menjelang sesi kelayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun mengakui persaingan dalam kelas Moto3 semakin sengit, beliau kekal optimistik untuk meningkatkan prestasinya seawal sesi latihan pertama pada Jumaat dan terus bersaing dalam kelompok hadapan.

Pelumba berusia 17 tahun itu mencuri tumpuan pada Grand Prix (GP) Brazil minggu lepas apabila meraih tempat ketiga pada sesi kelayakan untuk memulakan perlumbaan dari barisan hadapan, sebelum menamatkan perlumbaan dalam kelompok sepuluh terbaik bagi mengutip mata berharga untuk kempen musim ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2537164