KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Kerajaan Negeri Terengganu hari ini secara rasmi memeterai Perjanjian Penyelesaian bagi memperkemas status pemberimilikan ladang komersial yang melibatkan enam daerah di negeri itu.
Felda dalam kenyataan memaklumkan daerah itu ialah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.
Felda memaklumkan langkah signifikan itu kesinambungan kepada sejarah panjang kerjasama yang bermula sejak 1969 melalui Perjanjian-Perjanjian Rancangan Kemajuan Tanah (Perjanjian Negeri Terengganu) yang berasaskan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530).
“Penyelesaian ini akan memberi hasil dan manfaat ekonomi kepada warga komuniti Felda secara keseluruhannya bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan mereka,” menurut kenyataan itu.
Felda berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bertindak sebagai pemudah cara utama selain Kerajaan Negeri Terengganu dan pihak berkaitan yang terlibat dalam memuktamadkan perjanjian itu.
“Kerjasama erat antara peringkat Persekutuan, negeri dan Felda menjadi pemacu utama kepada penyelesaian yang harmoni ini, sekali gus mencerminkan keberkesanan tadbir urus demi kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah yang diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar selepas mendakwa ia diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.
Penyerahan notis itu dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Terengganu melanjutkan tempoh remedi kepada Felda susulan perkembangan positif hasil rundingan.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mohamad Azmi Mohd Daham berkata beberapa siri rundingan yang diadakan antara kerajaan negeri dengan Felda telah berhasil memuktamadkan terma utama.
"Berdasarkan kepada hasil rundingan tersebut, Felda akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam tempoh yang dipersetujui selepas perjanjian ditandatangani.
"Kerajaan Terengganu akan memproses permohonan pemberimilikan tersebut dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri mengeluarkan hak milik kepada Felda dengan dikenakan bayaran premium dan cukai tanah selaras dengan Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Terengganu 1966," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan Terengganu juga komited dalam memberikan kerjasama yang terbaik kepada Felda bagi melancarkan proses pemberian hak milik kesemua lot tanah tersebut.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut berharap hasil rundingan antara kerajaan negeri dan Felda dapat menoktahkan segala kekusutan yang berlaku sebelum ini.
"Kerajaan negeri sejak awal sentiasa komited dalam sebarang usaha rundingan. Alhamdulillah, semoga hasil rundingan antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Felda ini menoktahkan segala kekusutan," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi hari ini.
-- BERNAMA