PASARAN

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Seiring Dengan Kenaikan Wall Street

17/03/2026 11:01 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa, didorong oleh kenaikan Wall Street dan disokong oleh pembelian meluas di pasaran serantau.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.61 mata atau 0.33 peratus kepada 1,702.17 daripada 1,696.56 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 6.60 mata kepada 1,703.16.

Pasaran secara menyeluruh positif, dengan 187 kaunter untung mengatasi 125 kaunter rugi manakala 195 kaunter tidak berubah, 2,214 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 190.68 juta saham bernilai RM96.04 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen lebih baik didorong oleh harga minyak mentah yang menurun, dengan Brent melebihi sedikit US$100 setong, walaupun dagangan secara keseluruhan kekal lembap.

“Sementara itu, hasil 10 tahun AS merosot kepada 4.222 peratus. Di Hong Kong, Indeks Hang Seng meningkat semula dengan sasaran melepasi paras 26,000 sekali lagi.

“Pembelian diterajui oleh saham teknologi yang dianggap lebih rendah daripada nilai sebenar apabila peniaga tidak terlalu memberi tumpuan kepada konflik Timur Tengah yang berlarutan,” katanya kepada Bernama.

Pada peringkat tempatan, katanya sebahagian dana asing dijangka mengambil keuntungan selepas FBM KLCI ditutup rendah semalam dalam ketidaktentuan yang masih berterusan.

“Hari ini, kami menjangka indeks berada antara 1,695 dan 1,705. Minyak mentah merosot, dengan Brent kini diniagakan pada US$101 setong,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 6.0 sen kepada RM11.54, Public Bank menambah 2.0 sen kepada RM4.82, CIMB naik 5.0 sen kepada RM7.85, Tenaga Nasional menokok 8.0 sen kepada RM14.26 dan IHH Healthcare meningkat 3.0 sen kepada RM8.92.

Dalam senarai paling aktif, ACE Market debutant Adnex yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 6.0 sen kepada 26 sen, Pharmaniaga menambah 2.0 sen kepada 27.5 sen, Handal Energy dan Alpha IVF, masing-masing naik setengah sen kepada 3.5 sen dan 28 sen manakala Fitters Diversified kekal mendatar pada 2.0 sen.

Kaunter paling untung termasuklah Malaysian Pacific Industries, meningkat 52 sen kepada RM30.50; United Plantation naik 14 sen kepada RM33.40; Itmax dan Hong Leong Bank, masing-masing menambah 12 sen kepada RM4.56 dan RM22.56 serta KESM Industries menokok 10 sen kepada RM3.00.

Kaunter paling rugi ialah Petronas Chemicals, merosot 12 sen kepada RM4.46; Hengyuan Refining dan Malayan Cement berkurangan 8.0 sen kepada RM1.57 dan RM6.55 serta Dialog dan Westports Holdings menurun 6.0 sen kepada RM1.86 dan RM5.94.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 33.35 mata kepada 12,262.89, Indeks FBM Emas naik 33.01 mata kepada 12,417.78, Indeks FBM ACE menokok 5.57 mata kepada 4,380.06, Indeks FBM 70 menambah 14.27 mata kepada 17,003.09 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 16.64 mata kepada 12,124.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 94.38 mata kepada 20,506.21, Indeks Perladangan meningkat 10.71 mata kepada 8,528.54 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.31 mata kepada 174.71 dan Indeks Tenaga menurun 6.86 mata kepada 782.10.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535194