EKONOMI

Pelancaran Pelan Tindakan, Pelan Induk JS-SEZ Ditangguh

17/03/2026 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pelancaran pelan induk dan pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijadualkan pada 30 Mac ini di Johor Bahru, ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kementerian Ekonomi dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu adalah keputusan mesyuarat jemaah menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan hari ini.

Pada 12 Mac lepas, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementerian itu sedang memuktamadkan pelan induk dan pelan tindakan JS-SEZ, dengan pelan tindakan itu akan menjadi rujukan umum.

Pelan induk yang lebih terperinci pula berfungsi sebagai panduan bagi semua pihak pelaksana dalam pembangunan zon ekonomi khas itu.

Menurut beliau, pelancaran pelan tindakan itu merupakan langkah penting bagi memperincikan hala tuju pembangunan JS-SEZ termasuk aspek strategi pelaburan, kerjasama ekonomi serta pelaksanaan projek di kawasan berkenaan.

Menjadikan bandar Shenzhen sebagai contoh, JS-SEZ yang merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi, menarik pelaburan baharu serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan negara.

Zon ekonomi itu juga menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030, yang dijangka mengubah landskap ekonomi Johor secara menyeluruh selain beralih kepada ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi serta mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2535444