AM

KPDN Pahang Kumpul Lebih 3,400 Kg Lebihan Makanan Menerusi i-FB

16/03/2026 04:42 PM

KUANTAN, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang mengumpulkan lebih 3,400 kilogram pelbagai jenis lebihan makanan bernilai hampir RM45,000 menerusi pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB). 

Pengarahnya Jezlily Jamaluddin berkata makanan dari bazar Ramadan terpilih itu diserahkan kepada masjid, institusi pengajian tinggi awam atau swasta, golongan asnaf, anak-anak yatim dan individu memerlukan.

Beliau berkata inisiatif dari 23 Feb hingga 14 Mac antara lain bertujuan mengelakkan pembaziran dengan menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Menerusi usaha ini kami percaya ramai menerima manfaat dengan KPDN menumpukan penerima daripada isi rumah berpendapatan rendah, golongan asnaf dan anak yatim selain pelajar,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Sementara itu, Jezlily memaklumkan lima bazar Ramadan terpilih sebagai tempat pengumpulan i-FB ialah bazar Ramadan Pantai Selamat dan Mahkota Square di sini selain Taman Tasik (Pekan), Kuala Lipis (Lipis) dan Muadzam Shah (Rompin). 

Sebelum ini, ‎‎Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata i-FB bukan sahaja berperanan sebagai program bantuan makanan, tetapi turut menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar.

‎‎Armizan berkata berdasarkan data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia menghasilkan 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari. 

Program itu juga menekankan usaha menyemarakkan nilai ihsan dalam masyarakat untuk bersama-sama dalam gerakan menyantuni komuniti, khususnya golongan rentan dan kumpulan sasar dalam menyalurkan bantuan makanan melalui bank makanan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534977