KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Menggalakkan rakyat menanam sayur melalui program Kebuniti dan Kebun Dapur Isirumah tidak bermakna kerajaan tiada strategi dalam menangani isu keterjaminan makanan negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata sebaliknya, inisiatif itu sebahagian daripada pendekatan berlapis yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memperkukuh daya tahan bekalan makanan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Mengambil contoh Singapura dan Jepun, Mohamad berkata kedua-dua negara ini tetap mementingkan pertanian bandar dan menggalakkan tanaman sendiri sebagai langkah lapisan keselamatan kepada pengeluaran domestik, walaupun berdepan kekangan tanah dan memiliki dasar makanan yang kukuh.
“Adakah mereka tidak faham dasar makanan? Atau mereka amat faham bahawa budaya berdikari adalah sebahagian daripada strategi nasional? Kalau ada yang melihat usaha kecil rakyat dan pegawai KPKM sebagai tidak signifikan, itu hak masing-masing,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan seorang Ahli Parlimen yang berpandangan bahawa cadangan menanam sayur sendiri tidak akan menyelesaikan isu keterjaminan makanan kerana berskala kecil dan tidak memberikan kesan signifikan kepada bekalan makanan negara.
Mohamad berkata cadangan itu tidak wajar diperlekehkan kerana ia dilaksanakan seiring dengan pelbagai langkah dasar yang sedang diambil oleh KPKM bagi menangani potensi gangguan rantaian bekalan global susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Kenaikan harga bahan api akibat konflik itu berpotensi memberikan kesan langsung kepada nelayan kategori vesel C2 dan C3 yang tidak menerima subsidi diesel, selain meningkatkan kos logistik agromakanan yang boleh menekan harga runcit.
Selain itu, harga urea global yang meningkat berpotensi menambah kos input pertanian, manakala bekalan jagung bijian dan kacang soya untuk makanan ternakan pula masih bergantung kepada sumber luar.
“Inilah realiti sebenar keterjaminan makanan. Ia berkait dengan geopolitik, tenaga, input pertanian, kos logistik dan perdagangan antarabangsa. Sebab itu KPKM dah bertindak,” katanya.
Beliau berkata antara langkah awal yang telah dilaksanakan kementerian ialah meningkatkan stok penimbal beras melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) daripada 200,000 tan metrik kepada 300,000 tan metrik, serta mengadakan libat urus dengan Petronas bagi memastikan bekalan urea mencukupi pada harga terkawal.
Pada masa sama, kementerian turut memperkukuh Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR), Zon Industri Akuakultur (ZIA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta program Pertubuhan Peladang bagi meningkatkan pengeluaran domestik.
Dalam jangka panjang, beliau berkata kementerian merangka sembilan hala tuju strategik termasuk pengeluaran jagung bijian tempatan, pengukuhan industri ruminan, pembangunan baka Ayam Saga, peningkatan produktiviti padi serta pengukuhan industri akuakultur.
“Saya memberikan jaminan bahawa KPKM akan terus bekerja, memantau geopolitik, menstabilkan bekalan, mengurangkan kebergantungan import dan memperkukuh pengeluaran domestik,” katanya.
-- BERNAMA