AM

Lebih RM17.19 Juta Elaun Imam, Bilal Dan Guru KAFA Di Perlis Tahun Ini

15/03/2026 05:45 PM

KANGAR, 15 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM17.19 juta bagi pembayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Perlis bagi tahun ini.

Simbolik penyerahan peruntukan itu disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee kepada Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) Maznah Musa.

Majlis penyerahan cek cura peruntukan berkenaan disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada Program Iftar Ramadan MADANI (IRAMA) Peringkat Negeri Perlis 2026, di sini, semalam.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin dalam titah ucapannya menyambut baik inisiatif ‘Rakan Masjid’ yang dilaksanakan di peringkat pusat dalam usaha mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid.

Baginda bertitah masjid bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadah, malah turut berfungsi sebagai pusat pembangunan sahsiah, pembinaan kepimpinan serta penyemaian nilai murni dalam masyarakat.

Menurut baginda, usaha itu amat penting dalam membimbing golongan belia agar menjadikan masjid sebagai medan menimba ilmu, di samping ruang mempererat hubungan persaudaraan sesama umat Islam.

“Melalui inisiatif ‘Rakan Masjid’, sekiranya dapat dilaksanakan juga di Negeri Perlis, akan lahir generasi muda yang mencintai masjid, berilmu, berakhlak mulia serta mampu menjadi agen perpaduan dan kesejahteraan ummah,” titah baginda.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534696