KUANTAN,14 Mac (Bernama) -- Sebanyak 12 kereta pelbagai jenis terbakar di sebuah bengkel di Jalan Gambang, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada 6.15 pagi tadi sebelum 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota serta Kuantan bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata kebakaran melibatkan kereta yang berada di luar bengkel dan tidak melibatkan struktur premis berkenaan.
“Sebanyak tujuh kereta musnah sepenuhnya manakala lima lagi dianggarkan terbakar 20 peratus,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata tiada mangsa terlibat dalam insiden itu dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA