Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Permintaan terhadap perkhidmatan cucian rumah meningkat ketara menjelang Aidilfitri apabila ramai memilih menggunakan khidmat profesional bagi memastikan kediaman keluarga bersih dan selesa sebelum menyambut tetamu pada hari raya.
Bagi sesetengah keluarga, khidmat itu menjadi pilihan praktikal terutama apabila kesibukan kerja dan persiapan pulang ke kampung menyukarkan mereka melakukan kerja pembersihan rumah secara menyeluruh.
Pengusaha perkhidmatan cucian rumah dari Kota Bharu, Kelantan Tengku Aidi Shah Tengku Amran Shah berkata permintaan meningkat hampir dua kali ganda sepanjang Ramadan berbanding hari biasa.
pic-2
“Pada bulan biasa, kami hanya membersihkan satu atau dua rumah sehari mengikut jadual yang ditetapkan namun sepanjang Ramadan, kami terpaksa bekerja sehingga tiga atau empat rumah sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat.
“Kebanyakan pelanggan mendapatkan khidmat ini untuk membersihkan rumah ibu bapa yang biasanya menjadi lokasi utama perhimpunan keluarga pada pagi Aidilfitri apabila anak-anak pulang ke kampung untuk berkumpul dan menerima kunjungan saudara-mara,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Tengku Aidi Shah berkata beliau kini mempunyai lapan pekerja, iaitu empat bekerja sepenuh masa manakala empat lagi secara sambilan yang terpaksa diambil bagi menampung peningkatan permintaan menjelang Aidilfitri, dengan perkhidmatan ditawarkan di sekitar daerah Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok.
pic-3
Tempahan juga sudah penuh apabila pelanggan menempah slot seawal Februari, dengan lebih 30 rumah telah dibersihkan setakat ini dan kira-kira 20 lagi dijadualkan sebelum Aidilfitri manakala operasi perkhidmatan terakhir menjelang hari raya ialah pada 18 Mac.
Pemilik Al Wafi Laundry and Cleaning Shuzilah Saad pula berkata permintaan terhadap perkhidmatan cucian rumah di Lembah Klang meningkat sekitar 20 hingga 30 peratus menjelang Aidilfitri berbanding bulan biasa.
Beliau berkata syarikatnya, yang memiliki kira-kira 15 pekerja, menerima tempahan bagi sekitar 200 hingga 300 rumah daripada pelanggan baharu dan pelanggan tetap.
“Antara perkhidmatan yang paling mendapat permintaan ialah pakej pembersihan menyeluruh atau deep cleaning meliputi kerja-kerja seperti mengemop lantai, membersihkan dapur, mencuci tandas serta mengelap kipas, tingkap dan perabot di dalam rumah,” katanya.
Shuzilah juga berkata kekurangan tenaga kerja menjadi antara cabaran utama apabila permintaan meningkat menjelang musim perayaan sehingga menyebabkan sebahagian tempahan terpaksa ditolak.
-- BERNAMA