AM

KPM Segerakan Pemasangan CCTV Fasa Dua Di 333 Sekolah Asrama Tahun Ini - KP Pendidikan

14/03/2026 09:35 PM

KOTA BHARU, 14 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyegerakan proses pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) fasa kedua melibatkan 333 sekolah asrama di bawah kementerian itu tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan daripada fasa pertama pada 2025, dengan pemasangan CCTV telah selesai dilaksanakan di 200 sekolah asrama KPM.

Beliau berkata pelaksanaan fasa kedua kini di peringkat teknikal berikutan pemasangan peranti keselamatan itu tidak boleh dilakukan secara semberono, sebaliknya perlu mematuhi akta berkaitan privasi.

"Di peringkat teknikal ini, kita (KPM) sedang mendapatkan pandangan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan pihak lain bagi memastikan hak dan privasi kanak-kanak sentiasa terpelihara.

"KPM turut bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya bagi mendapatkan khidmat nasihat dari sudut teknikal berhubung tatacara pemasangan CCTV berkenaan di premis sekolah," katanya kepada pemberita selepas program Jaulah Ramadan Perdana Tahun 2026 KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini malam ini.

Mohd Azam berkata walaupun terdapat pelbagai penelitian teknikal dan undang-undang, pihak kementerian memberi jaminan bahawa pemasangan untuk 333 sekolah asrama tahun ini akan disegerakan.

Sebelum ini, Mohd Azam dilaporkan berkata 200 sekolah berasrama di bawah KPM di seluruh negara akan dilengkapi CCTV dalam masa terdekat dengan peruntukan RM3 juta bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar di sekolah khususnya di asrama.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534510