Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan mendatar minggu depan susulan konflik yang berterusan di Asia Barat.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata memandangkan ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat, beliau menjangkakan indeks penanda aras itu didagangkan dalam lingkungan 1,690 hingga 1,730 minggu depan.
“Kami berpendapat selagi ia kekal di atas paras sokongan 1,690, struktur pasaran keseluruhan masih kekal positif,” katanya kepada Bernama.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mac 2026 susut 2.5 mata kepada 1,681.0, April 2026 turun 10.0 mata kepada 1,683.0, Jun 2026 merosot 12.0 mata kepada 1,681.5, manakala September 2026 menyusut 11.0 mata kepada 1,666.0.
Jumlah dagangan bagi minggu ini turun kepada 46,465 lot berbanding 48,599 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 40,472 kontrak daripada 41,869 kontrak sebelum ini.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 19.21 mata kepada 1,698.85 daripada 1,718.06 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA