SINGAPURA, 13 Mac (Bernama) -- Penguasa Sains Kesihatan (HSA) merampas peranti pengewap (vap) dan komponen berkaitan bernilai lebih S$1.1 juta (kira-kira RM3.37 juta) di Singapura, yang merupakan operasi terbesar sejak September 2025.
Dalam satu kenyataan, HSA memaklumkan pihaknya telah menyita hampir 67,000 produk vap dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dalam operasi yang dijalankan pada 24 Feb 2026.
"Siasatan susulan mendedahkan subjek berkenaan bertanggungjawab ke atas sebuah gudang komersial yang terletak di Mandai, yang didapati menyimpan sejumlah besar vap untuk pengedaran tempatan.
"Lelaki itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengimportan vap dan komponen berkaitan. Siasatan lanjut masih dijalankan," menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Singapura akan menguatkuasakan penalti baharu yang dipertingkatkan di bawah Akta Kawalan Tembakau dan Produk Pengewap (TVCA) bermula 1 Mei 2026, menyasarkan pengimport dan pembekal produk terlarang, serta penghuni dan pemilik premis yang tidak mematuhi langkah-langkah berkenaan.
Pengimport vap akan berdepan hukuman penjara mandatori sehingga sembilan tahun dan denda sehingga S$300,000, manakala pembekal berdepan hukuman penjara mandatori sehingga enam tahun dan denda sehingga S$200,000.
Menurut HSA, pemilik dan penghuni tanah, bangunan serta premis perlu berwaspada bagi menghalang penyimpanan produk terlarang seperti vap di premis mereka di bawah TVCA.
Mereka yang gagal mematuhi undang-undang baharu itu berdepan denda sehingga S$100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama; manakala denda sehingga S$200,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua.
-- BERNAMA