AM

Aidilfitri: Pengguna Lebuh Raya Digalak Guna Aplikasi TuJu Bantu Rancang Perjalanan

13/03/2026 09:19 PM

BATU PAHAT, 13 Mac (Bernama) -- Pengguna lebuh raya digalakkan menggunakan aplikasi “TuJu” yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sempena cuti Aidilfitri minggu depan sebagai alternatif bagi mengelak kesesakan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata aplikasi berkenaan boleh dijadikan rujukan sebelum memulakan perjalanan kerana terdapat banyak maklumat berkaitan termasuk dilengkapi navigasi pintar.

Beliau berkata TuJu dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan, keberkesanan laluan serta keselesaan kepada pengguna dan ia diintegrasikan dengan 33 kamera litar tertutup (CCTV) milik LLM yang membolehkan pengguna mengakses keadaan lebuh raya.

“Lebih menarik, aplikasi ini dilengkapi ciri navigasi pintar seperti navigasi tepat, maklumat tol dan trafik masa nyata, kemudahan kawasan rehat dan rawat, akses kamera CCTV secara langsung dan bantuan kecemasan.

“Melalui objektif ini, TuJu berfungsi sebagai inisiatif alternatif yang menggabungkan teknologi dan keselamatan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian bakul makanan kepada golongan asnaf dalam kawasan Jawatankuasa Penyelaras Cawangan-Cawangan Penggaram di Taman Melodi hari ini.

Ahmad berkata, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun sama ada melalui Google Play Store atau Apple App Store sekali gus mampu merancang masa perjalanan yang bersesuaian.

“Aplikasi ini sebenarnya amat memudahkan pengguna lebuh raya, mereka boleh merancang bila untuk keluar rumah dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata operasi smart lane akan diaktifkan mengikut keperluan dan keadaan di lebuh raya yang bertujuan memastikan kelancaran perjalanan.

--BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534176