EKONOMI

MIDA Ambil Alih Peranan Promosi Pelaburan InvestKL Bermula 15 Mac

13/03/2026 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengambil alih peranan promosi dan kemudahan pelaburan InvestKL Corporation (InvestKL) berkuat kuasa 15 Mac 2026.

Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memperkemas rangka kerja promosi pelaburan Malaysia di bawah satu agensi.

Dalam kenyataan yang disiarkan di X, MIDA berkata InvestKL yang ditubuhkan untuk menarik syarikat multinasional ke kawasan Greater Kuala Lumpur akan menghentikan operasi selepas diserap.

“Selepas diserap, MIDA akan meneruskan peranannya bagi promosi dan kemudahan untuk Malaysia termasuk di Greater Kuala Lumpur dan pada masa sama memperkukuh hubungan pelabur sedia ada dan meningkatkan penglibatan dengan syarikat multinasional meliputi sektor utama,” katanya.

MIDA berkata langkah itu menghapuskan pertindihan fungsi antara institusi dan menyalurkan sumber ke arah pengalaman pelabur yang lebih tersusun.

"MIDA komited untuk mengekalkan kesinambungan semua penglibatan pelabur dan pihak berkepentingan yang berterusan sepanjang peralihan ini," katanya.

Pelabur dan pihak berkepentingan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengemukakan pertanyaan kepada MIDA di: www.mida.gov.my

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534172