KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB), anak syarikat penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerbitkan sukuk wakalah kelestarian dengan nilai nominal RM1.5 bilion sebagai susulan kepada program sukuk wakalah.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank IB berperanan sebagai pengurus utama/penyelaras bersama bagi sukuk wakalah kelestarian RM1.5 bilion.
“Hasil daripada terbitan sukuk wakalah itu akan digunakan oleh penerbit untuk projek-projek yang layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Sukuk Kelestarian TPGSB,” katanya.
TPGSB berperanan penting dalam menyokong aspirasi kelestarian TNB dan komitmen mengurangkan perubahan iklim dengan melaksanakan teknologi penjanaan tenaga lebih hijau, bersih dan cekap.
“Inisiatif pembiayaan lestari oleh TPGSB ini juga membuktikan komitmen TPGSB menyokong aspirasi TNB mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 sebagai langkah ke arah penyahkarbonan dan tenaga boleh baharu,” katanya.
Sukuk wakalah kelestarian RM1.5 bilion itu adalah terbitan ketiga program sukuk wakalah dan telah diterbitkan dalam empat bahagian iaitu bahagian 1 (RM100 juta); 2 (RM300 juta); 3 (RM500 juta) dan 4 (RM600 juta).
Permintaan itu telah terlebih langganan sebanyak 5.33 kali yang mewakili pesanan RM8.0 bilion berbanding saiz terbitan RM1.5 bilion.
Ini merupakan pesanan kukuh daripada pelbagai pelabur yang merangkumi 51 akaun.
-- BERNAMA