EKONOMI

Konflik Geopolitik Dijangka Beri Kesan Sederhana Sektor Hartanah Malaysia - Rehda

13/03/2026 04:56 PM

PETALING JAYA, 13 Mac (Bernama) -- Konflik geopolitik global dijangka memberi kesan sederhana terhadap sektor pembangunan hartanah dan pembinaan Malaysia pada 2026, menurut tinjauan awal Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda).

Presidennya, Datuk Ir Ho Hon Sang berkata 42.6 peratus responden menjangkakan kesan sederhana daripada impak tersebut, manakala kira-kira 30 peratus menjangka impak ketara, walaupun kesan sepenuhnya masih belum terserlah.

“Konflik di Asia Barat bermula dua minggu lepas. Kontraktor sangat berwaspada ketika ini dan terus memantau keadaan, kami juga menerima maklum balas daripada industri dari semasa ke semasa.

"Pada masa yang sama, kami akan bekerjasama dengan kerajaan bagi meneroka cara untuk menyokong industri,” katanya pada acara Tinjauan Industri Hartanah bagi separuh 2025 dan Tinjauan Pasaran Hartanah 2026 anjuran Rehda hari ini.

Mengulas tekanan terhadap bekalan, beliau berkata 37 peratus responden memberi kesan ketara terhadap harga atau bekalan bahan binaan di Malaysia, manakala 38 peratus lagi mengunjurkan kesan sederhana.

Katanya bahan binaan utama, termasuk keluli dan besi tetulang, berkemungkinan antara yang paling terjejas sekiranya berlaku gangguan bekalan.

“Pada peringkat ini, kami belum melihat sebarang peningkatan kos besar yang secara langsung berpunca daripada konflik tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Ho berkata pemaju telah menerima notis mengenai kenaikan harga konkrit sebanyak 20 peratus, yang dikaitkan dengan faktor penguatkuasaan peraturan.

Tinjauan itu juga menunjukkan kemungkinan berlakunya kelewatan projek pada tahap sederhana atau kecil sekiranya ketegangan geopolitik berterusan.

Ho turut mengakui ketika ini persekitaran ekonomi dalam keadaan berhati-hati susulan pengumuman kerajaan bahawa semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri sebagai langkah berjimat dalam keadaan ketidaktentuan.

Tinjauan awal mengenai ‘Pandangan Pemaju terhadap Potensi Kesan Konflik Geopolitik Global’ dijalankan dari 6 hingga 9 Mac 2026 melibatkan 55 ahli Rehda.

Sementara itu, Ho berkata prospek pasaran hartanah bagi 2026 kekal optimistik secara berhati-hati sekiranya ketegangan mereda dan keadaan global kembali stabil.

Rehda, yang menjalankan tinjauan prospek pasaran 2026 sebelum Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada 28 Feb 2026, melaporkan bahawa 47 peratus responden daripada 166 ahli Rehda yang menyertai Tinjauan Industri Hartanah (PIS) merancang melancarkan projek pada separuh pertama 2026, melibatkan 5,015 unit hartanah bertanah dan 12,669 unit.

Kebanyakan responden menjangka prestasi jualan meningkat daripada bawah 25 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama kepada antara 25 hingga 50 peratus dalam tempoh enam bulan.

Mengikut julat harga, responden di kebanyakan negeri merancang pelancaran projek dalam lingkungan RM300,001 hingga RM500,000, kecuali di Kuala Lumpur dan Selangor (RM500,001 hingga RM700,000) serta Johor (RM1,000,001 hingga RM2.5 juta).

“Responden mengekalkan pandangan yang kebanyakannya neutral bagi 2026, dengan tahap keyakinan sedikit lebih tinggi pada separuh pertama 2026 berbanding separuh kedua 2025, dan kekal lebih tinggi bagi separuh kedua 2026,” katanya.

Beliau berkata keyakinan itu disokong oleh laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Napic) yang menunjukkan transaksi hartanah Malaysia melebihi RM240 bilion pada 2025 berbanding sekitar RM232 bilion pada 2024; pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat; kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil pada 2.75 peratus; serta pertumbuhan ekonomi kukuh sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025.

"Meskipun tanda-tanda keyakinan ini positif, perlu diingat bahawa tinjauan dijalankan sebelum situasi semasa di Asia Barat. Industri hartanah perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan saya berharap semua pihak dalam industri akan terus saling menyokong," kata Ho.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2534013