JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Lipis

13/03/2026 10:50 AM

KUANTAN, 13 Mac (Bernama) -- Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan berasingan berlaku di Lipis, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata kemalangan pertama berlaku kira-kira 1.30 tengah hari di Kilometer 95, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Merapoh, yang melibatkan sebuah bas ekspres dan kereta Perodua Kancil.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati bas ekspres yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu, sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Klang, Selangor dengan membawa 15 penumpang.

“Pada masa sama, kereta Perodua Kancil yang dipandu lelaki  berusia 66 tahun bersama anaknya dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelah kiri jalan ketika bas berkenaan bergerak lurus. Pemandu bas cuba membrek dan mengelak ke kanan jalan namun gagal sebelum melanggar kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, pemandu kereta berkenaan Safein Ab Rahman, 66, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya yang cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

Ismail berkata pemandu serta semua penumpang bas ekspres tidak mengalami kecederaan.

Dalam satu lagi kemalangan, beliau berkata seorang lelaki yang juga pemandu treler maut dalam kejadian membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 18, Jalan Lipis–Jerantut berhampiran Kampung Lentang, pada 2.28 petang, semalam. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati treler yang dipandu Shahfik Fanzi Rosli, 41, dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Mentakab, Pahang untuk menghantar muatan batu kapur.

“Ketika melalui satu selekoh tajam, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum terbalik dan bertembung dengan lori Isuzu yang datang dari arah bertentangan. Honda Jazz yang berada di belakang lori berkenaan cuba mengelak namun turut terlibat dalam kemalangan itu,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata pemandu lori Isuzu cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut, manakala pemandu Honda Jazz yang juga wanita berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ismail turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan, selain menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533849