AM

Perahu Naga Shuang Rao 30.5 Meter Dipamer Di Sungai Melaka

12/03/2026 08:56 PM

MELAKA, 12 Mac (Bernama) -- Perahu naga Shuang Rao sepanjang 30.5 meter dari wilayah Hunan, China akan dipamerkan di Sungai Melaka sempena Pesta Kebudayaan Cina Malaysia ke-41 serta siri acara Pesta Perahu Naga Melaka 2026.

Penasihat Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka Allex Seah Shoo Chin berkata perahu naga yang mampu menampung 108 peserta termasuk 100 pendayung akan dipasang menggunakan bahan kayu dibawa khas dari Hunan dengan proses pemasangan dan pengecatan dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan.

“Acara ini anjuran Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka dan Tokong Thien Tay Koon bagi memperkenalkan warisan budaya tidak ketara dari bandar Yiyang, Hunan kepada masyarakat tempatan serta pelancong.

“Perahu naga yang diterima daripada sebuah persatuan perahu naga di Hunan juga sebagai simbol pertukaran budaya antara Malaysia dan China,” katanya pada sidang media penganjuran Program Pesta Perahu Naga Melaka ke-41 di sini hari ini.

Seah yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka berkata perahu naga itu dijangka menjadi antara yang terbesar pernah dipamerkan di negeri itu dan pihak penganjur turut merancang mencalonkannya untuk pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Beliau berkata perahu naga Shuang Rao dijadualkan dipamerkan pada 14 Jun dan akan turut disertai dengan pemain muzik tradisional dan pengemudi perahu.

Kemuncak Perlumbaan Perahu Naga Melaka 2026 dijadualkan pada 27 dan 28 Jun dengan jangkaan penglibatan lebih 100 pasukan dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533739