ALOR SETAR, 12 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki melecur pada bahagian muka, tangan dan kaki selepas disambar api ketika sedang mencuci bot di pangkalan nelayan Sungai Itau, di Langkawi, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun sedang mencuci bot sebelum berlaku percikan api pada bahagian bateri dan pam bot.
“Api terus menyambar mangsa yang berada di dalam bot berkenaan. Pada 7.45 malam, rakan mangsa yang berada tidak jauh dari situ terdengar bunyi seakan letupan dan terus bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA