KLANG, 12 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan percubaan menyeludup mercun, perisa shisha serta tembakau kunyah bernilai RM1.54 juta menerusi serbuan berasingan di sekitar Selangor bulan lepas.
Pengarah JKDM Selangor Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata menerusi pemeriksaan terhadap sebuah kontena di sebuah gudang sekitar kawasan Puncak Alam pada 12 Jan lepas, menemukan sejumlah mercun bernilai RM266,319.
"Pengimportan mercun dan bunga api tertakluk di bawah permit import dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 46, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi pemeriksaan pada 26 Jan lepas dengan kerjasama Unit Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Pelabuhan Barat, Klang, berjaya menemukan sejumlah tisu serta 13.17 tan mercun bernilai RM279,588 yang telah diikrar secara tidak benar sebagai barang hiasan parti dipercayai untuk tujuan eksport ke sebuah negara di Asia.
Dalam pada itu, Mohamad Azhar berkata pemeriksaan atas sebuah kontena pada 13 Jan di Pelabuhan Barat, Klang, menemukan 2,880 kilogram (kg) perisa shisha dipercayai diimport tanpa permit yang sah berjumlah RM434,016.
Beliau berkata pengimportan produk itu tertakluk kepada permit import dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 4(3), Bahagian I, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
"Produk itu juga telah diiklankan secara tidak benar sebagai minuman tenaga melalui manifes bagi mengelak dikesan JKDM," katanya.
Beliau berkata pihaknya turut merampas 3,900 kg tembakau kunyah bernilai RM566,816 di Pelabuhan Utara, Klang yang gagal mengemukakan permit import.
Kes disiasat di bawah seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA