JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita, Anak Saudara Cedera Ditikam

09/03/2026 11:37 PM

IPOH, 9 Mac (Bernama) -- Seorang wanita dan anak saudara lelakinya cedera akibat ditikam abang kandung wanita terbabit dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bandar Baru dekat Kampar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita berusia 56 tahun itu pada 7.35 malam.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di ruang tamu rumah jenis dua tingkat yang didiami suspek serta kedua-dua mangsa iaitu adik kandung perempuan dan anak lelaki suspek.

“Wanita itu (adik suspek) dan anak saudaranya (anak suspek) yang berusia 22 tahun ditikam tiga kali pada bahagian leher kiri.

"Kedua-dua mangsa kini dalam keadaan kritikal dan telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nazri berkata suspek yang berusia 58 tahun dan tidak bekerja, cedera pada bahagian tapak tangan kiri.

Beliau berkata kejadian berpunca daripada lelaki itu yang mengalami halusinasi dan pernah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Fatimah di sini.

Suspek dirujuk ke Hospital Tanjung Rambutan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532409