Oleh Kuvineshwaren a/l Nedunjelian
KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Di sebalik deruman enjin treler yang lazimnya dikendalikan lelaki, M. Kahmani membuktikan wanita juga mampu mengemudi kenderaan berat merentasi lebuh raya, sekali gus memecah stereotaip yang sekian lama membelenggu bidang itu.
Sedikit pun tidak pernah berasa malu atau janggal untuk menerokai bidang mencabar itu biarpun memiliki diploma dalam kejuruteraan mekatronik, wanita berusia 28 tahun ini telah lebih enam tahun setia dengan kerjaya tersebut walaupun berdepan pelbagai rintangan demi mencari rezeki halal buat keluarganya.
Menemuinya baru-baru ini, Kahmani berkata keputusan untuk berkecimpung dalam dunia pemanduan kenderaan berat itu berlaku secara tidak sengaja apabila timbul rasa ingin tahu selepas melihat seorang wanita di dalam treler pada waktu malam semasa bekerja di sebuah kilang.
pic-2
“Melihat wanita tersebut bersendirian, membuatkan saya tertanya-tanya sama ada dia yang membawa treler itu kerana biasanya, lelaki yang memandu kenderaan berat. Saya bertanya kepada wanita tersebut dan dia kata cuma membantu menemani suaminya yang memandu treler itu.
“Dari situlah, saya dapat inspirasi dan komited menceburi bidang tersebut secara serius. Saya pun ambil langkah berani untuk dapatkan lesen memandu kenderaan berat,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual bersempena dengan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini.
Berkongsi cerita dengan lebih lanjut, wanita berasal dari Banting, Selangor ini berkata selepas mencuba pelbagai jenis pekerjaan termasuk juruwang, khidmat pelanggan syarikat penerbangan, juruteknik namun semuanya tidak dapat bertahan lama, dia nekad mengambil keputusan yang jarang dilakukan wanita itu.
pic-3
Kahmani yang sebelum ini juga pernah bekerja kilang, berkata pekerjaan tersebut yang memerlukannya bertugas selama 12 jam sehari di satu tempat dengan rutin sama, turut membuatkannya berasa terlalu terikat, kurang kebebasan serta tidak memberi kepuasan diri.
“Lama-kelamaan, saya rasa kerja itu tidak sesuai dengan diri saya kerana terlalu terikat. Susah hendak bercuti atau bergerak bebas. Sebab itu, saya nekad untuk mencuba kerjaya sebagai pemandu treler dan sebenarnya, dunia pemanduan ini tidak asing dalam keluarga saya.
“Bapa saya, Murugan seorang pemandu lori tangki dan dia juga yang banyak ajar serta dedahkan saya dengan pelbagai ilmu mengenai kerjaya ini. Bapa merupakan antara seorang sumber inspirasi utama saya,” katanya.
Mengakui kehidupan sebagai pemandu treler bukan mudah kerana berdepan dengan reaksi negatif segelintir masyarakat yang memperlekeh kudrat wanita selain keletihan fizikal selepas menempuh perjalanan jauh, tuntutan kerjanya juga menyebabkan Kahmani jarang dapat pulang ke rumah.
pic-4
Memerlukannya menjelajah hampir ke seluruh pelosok negara, Kahmani memulakan tugasnya biasanya pada waktu pagi dengan mengambil dokumen penghantaran seperti nota konsainan atau surat jalan sebelum memeriksa keadaan treler.
Selepas memastikan semuanya berada dalam keadaan baik, Kahmani akan memulakan perjalanan, kebiasaannya menuju Ipoh, Perak, memandangkan syarikat tempatnya bekerja mempunyai projek di kawasan tersebut.
“Treler ini sudah seperti ‘rumah kedua’ saya kerana menyimpan pelbagai keperluan penting seperti makanan segera, pakaian, ubat-ubatan dan peralatan asas memasak bagi memudahkan kehidupan sepanjang berada di jalan raya.
“Apabila berjauhan daripada keluarga, perkara yang paling saya rindukan ialah masakan ibu. Dulu semasa tinggal di rumah, ibu masak tetapi saya jarang makan. Sekarang bila jauh, barulah terasa rindu makanan rumah,” katanya.
pic-5
Kisah Kahmani turut mendapat perhatian ramai selepas video memandu trelernya tular di media sosial dengan ramai wanita berkongsi bahawa mereka mendapat semangat serta menganggapnya sebagai inspirasi.
Kahmani berkata pengalaman itu membuatkannya lebih yakin untuk terus berkongsi mesej bahawa wanita perlu percaya pada kemampuan diri sendiri, kerana dari segi kemampuan, sesiapa sahaja boleh melakukan sesuatu pekerjaan jika mempunyai keyakinan dan kesungguhan.
-- BERNAMA