JENAYAH & MAHKAMAH

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan Kini Pada Peringkat Akhir Penelitian

08/03/2026 11:19 PM

KOTA BHARU, 8 Mac (Bernama) -- Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan kini pada peringkat akhir penelitian sebelum dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dijadual April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata draf pindaan enakmen berkenaan sedang dalam proses penelitian pada peringkat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi semakan lanjut.

Beliau berkata selepas proses itu selesai, cadangan pindaan itu akan dibawa semula kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum dimuktamadkan untuk pembentangan di persidangan DUN.

“Jika tiada perubahan sebagaimana dimaklumkan sebelum ini oleh Pengerusi Lajnah Undang-Undang yang juga Timbalan Menteri Besar, ia dijangka dilaksanakan pada tahun ini,” katanya selepas Majlis Iftar Perdana bersama pengamal media, di sini hari ini.

Mohd Asri berkata sebahagian besar penyediaan pindaan itu sebenarnya telah siap sejak tahun lalu, namun beberapa perkara masih memerlukan penambahbaikan sebelum dimuktamadkan.

Menurut beliau, penelitian berkenaan melibatkan kajian oleh pelbagai pihak berautoriti dalam kerajaan negeri, termasuk mufti, Jemaah Ulama serta panel peguam yang dilantik.

“Perkara ini turut dibincangkan dalam Mesyuarat Exco kerajaan negeri dan satu pelan tindakan atau ‘blueprint’ akan disediakan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik,” katanya.

DUN Kelantan sebelum ini meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb 2024.

Sebelum ini, panel sembilan hakim yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531903