JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Hasil Hutan Bernilai Lebih RM7.7 Juta Di Kelantan, Terengganu

27/02/2026 10:40 PM

KOTA BHARU, 27 Feb (Bernama) -- Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hasil hutan termasuk kayu bulat, balak serta jentera bernilai lebih RM7.7 juta dalam beberapa serbuan di Terengganu dan Kelantan bulan ini.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu dilakukan menerusi Ops Bersepadu Khazanah (OBK) dan Ops Taring Wawasan Kelantan (OTWK) dengan 22 individu turut ditahan.

Beliau berkata pada 8 Feb lepas, anggota Batalion 8 PGA (PGA8) menahan seorang lelaki berusia 48 tahun dan merampas sebuah lori berserta enam kayu balak bernilai RM140,000 selepas menahan sebuah lori di ladang getah di Serasa, Paloh, dekat Gua Musang.

“Pemeriksaan pada 8.30 malam itu mendapati pemandu lori itu gagal mengemukakan dokumen sah pemindahan kayu disyaki meranti daripada Jabatan Perhutanan dan dia kemudian ditahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata hasil tindakan susulan di kawasan ladang sama pada 10.30 malam, anggota PGA8 turut menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti menebang, mengangkut dan menjual hasil hutan tanpa lesen.

Beliau berkata sebuah lori, jentera pengorek, jentolak, gergaji rantai dan tujuh kayu balak dianggar bernilai RM1.45 juta turut dirampas.

Ahmad Radzi berkata pada 12 Feb lepas, pelbagai mesin, pengasah mata gergaji, kayu bulat pelbagai saiz serta sebuah lori dianggar berjumlah RM304,470 dirampas hasil serbuan PGA9 bersama pegawai Cawangan Khas dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Terengganu di sebuah kilang kayu di Mukim Jerangau, Dungun, Terengganu.

“Pemeriksaan pada 9.20 pagi mendapati premis itu tidak memiliki lesen operasi kilang yang sah dan tujuh individu berusia antara 40 hingga 60 tahun ditahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313),” katanya.

PGA katanya turut menyerbu dua kilang kayu di Gual Terbok, Rantau Panjang pada 22 Feb dan Bukit Telaga, Gual Ipoh, Tanah Merah pada 25 Feb serta menahan 11 lelaki termasuk dua warga asing mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Hasil pemeriksaan, ribuan kayu bulat dianggar bernilai RM2.87 juta dan kayu siap bernilai RM2.99 juta  serta pelbagai peralatan dirampas.

“Kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia khususnya PGA dalam memelihara khazanah hutan negara daripada terus dieksploitasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528618