KOTA BHARU, 5 Mac (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lima lelaki termasuk dua warga Thailand kerana memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah di tebing alur Sungai Kampung Tok Rusa dekat Pasir Mas semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kesemua lelaki berusia antara 31 hingga 45 tahun itu ditahan kira-kira 8.30 malam oleh anggota Strike Force Batalion 8 PGA dalam Ops Taring Wawasan Kelantan.
Beliau berkata anggota PGA yang melakukan pemerhatian di kawasan pengkalan haram Tanjung Baru di Jalan Kasban mengesan sebuah perahu dinaiki lima lelaki dari arah Sungai Golok di sempadan Thailand sebelum mereka naik ke tebing sungai di Kampung Tok Rusa.
“Anggota PGA kemudian menghampiri kumpulan lelaki berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka warga tempatan manakala dua lagi warga Thailand, yang dipercayai menjadi pemandu bot membawa mereka menyeberangi sungai itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata siasatan awal mendapati tiga lelaki tempatan itu memasuki Thailand bagi urusan jual beli lembu untuk kegunaan perayaan Aidiladha dan membayar tambang bot sebanyak RM2 seorang.
Beliau berkata pihak polis turut merampas sebuah perahu fiber dan sebuah enjin Honda GX270 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,000.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas mendapati kesemua individu terbabit negatif dadah.
“Kesemua mereka ditahan kerana memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
-- BERNAMA