PASARAN

Pasaran Getah Dijangka Meningkat Minggu Depan Susulan Bekalan Terhad, Lonjakan Harga Minyak

07/03/2026 11:46 AM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka meningkat minggu depan, disokong keadaan bekalan yang semakin terhad dan kebimbangan terhadap konflik yang berterusan di Timur Tengah.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata bekalan yang terhad bersama kenaikan harga minyak mentah berpotensi menyokong harga getah dalam tempoh terdekat.

“Pasaran getah kekal bercampur-campur minggu ini, dipengaruhi kelemahan niaga hadapan getah serantau serta kebimbangan terhadap ketegangan di Timur Tengah.

"Namun, konflik Iran telah mendorong kenaikan harga minyak dan dijangka meningkatkan kos pengangkutan serta logistik,” kata MARGMA kepada Bernama.

Menurut persatuan itu, prospek pasaran juga disokong oleh rancangan pertumbuhan ekonomi terbaharu China yang menyasarkan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 4.5 hingga lima peratus, dengan sokongan cadangan rangsangan fiskal.

Pakar industri Denis Low berkata harga getah dijangka bergerak dalam julat yang terhad dengan kecenderungan sedikit menurun.

“Dari segi bekalan, pengeluaran getah semakin perlahan berikutan musim pokok daun luruh yang dijangka berterusan hingga akhir Mac atau awal April.

"Bagaimanapun, kekurangan bekalan itu mungkin diimbangi permintaan yang lebih lemah susulan konflik Iran, menyebabkan peserta pasaran mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ minggu depan,” katanya.

Untuk perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) susut 9.5 sen kepada 782.50 sen sekilogram, manakala harga lateks pukal meningkat 34 sen kepada 648 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531383