KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh sedang menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video tular memaparkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik pasukan itu yang berhenti untuk mengambil bungkusan di sebuah restoran mamak, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya mengesan video berdurasi 12 saat itu di media sosial pada 7.50 malam yang memaparkan insiden di kawasan deretan kedai dalam daerah pentadbiran berkenaan.
Beliau berkata rakaman itu menunjukkan seorang pekerja restoran menghampiri kenderaan MPV dengan kod kenderaan SL198 sebelum menyerahkan dua bungkusan plastik berwarna putih kepada pemandu kenderaan tersebut di siang hari.
"Pihak IPD Sungai Buloh mengesahkan kejadian yang berlaku melibatkan MPV milik IPD ini. Perkara ini akan disiasat secara terperinci dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang didapati terlibat.
"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga pasukan yang melakukan salah laku hingga boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh mencemarkan imej pasukan polis.
-- BERNAMA