JENAYAH & MAHKAMAH

Pergolakan Timur Tengah: Polis Tingkat Rondaan, Kawal Ketat Sasaran Penting Negara

06/03/2026 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengarahkan semua Ketua Polis Negeri dan pengarah jabatannya untuk meningkatkan rondaan serta penugasan keselamatan di sempadan dan sasaran penting dalam negara susulan pergolakan yang berlaku di Timur Tengah ketika ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata rondaan dan penugasan keselamatan itu termasuk ke atas kepentingan serta aset milik Amerika Syarikat (AS) dan Eropah di negara ini serta rumah ibadat yang dikhuatiri mungkin menjadi sasaran pihak tertentu.

"Kita sentiasa mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneliti perkembangan ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata pemantauan dan kawalan keselamatan yang dilaksanakan secara berterusan itu adalah komitmen PDRM dalam menjamin ketenteraman awam dan memastikan negara bebas daripada sebarang ancaman luar yang tidak diingini.

Ketegangan di Timur Tengah meruncing apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran menyebabkan Iran melakukan serangan balas ke atas kepentingan AS di rantau berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531199