KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 2.75 peratus.
BNM menjelaskan pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut bank pusat berlandaskan kekukuhan pada 2025, pertumbuhan global akan terus disokong oleh permintaan dalam negara yang berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari
Bank pusat memaklumkan bagaimanapun, konflik terkini di Timur Tengah telah meningkatkan ketidaktentuan dalam ekonomi global.
“Kesan terhadap ekonomi global akan bergantung pada tempoh dan keseriusan konflik. Berikutan perkembangan terkini, risiko pertumbuhan menjadi perlahan telah meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global,” tambah BNM.
BNM menjelaskan selain itu, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap kemungkinan tarif yang lebih tinggi dan penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan.
“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” tambahnya.
Menurut BNM ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, didorong oleh permintaan dalam negara yang kukuh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih tinggi dan pelancongan ke dalam negara yang giat.
Momentum pertumbuhan itu dijangka berterusan pada tahun 2026, berteraskan permintaan dalam negara yang berdaya tahan, jelasnya.
“Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan,” tambah BNM.
Bank pusat menjelaskann sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport E&E yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
Prospek pertumbuhan itu kekal tertakluk pada ketidakpastian berhubung dengan perkembangan global, termasuk konflik terkini di Timur Tengah, tambah BNM.
“Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
“Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” menurut BNM.
BNM memaklumkan Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.6 peratus dan 2.3 peratus pada Januari 2026.
“Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan pada 2026 dijangka kekal sederhana. Walaupun harga komoditi global mungkin terdedah kepada volatiliti yang lebih ketara berikutan perkembangan terkini, kesannya terhadap inflasi dalam negara dijangka terkawal,” jelasnya.
Bank pusat menambah inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
MPC mengambil maklum mengenai ketidaktentuan yang timbul susulan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Impak kepada ekonomi global dan Malaysia akan bergantung pada perkembangan situasi ini.
“Ekonomi Malaysia menghadapi cabaran ini daripada kedudukan yang kukuh, dengan pertumbuhan dalam negara yang mantap, inflasi yang sederhana, sektor kewangan yang teguh dan kedudukan luaran yang berdaya tahan,” menurut BNM.
-- BERNAMA