KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kira-kira 60 peratus daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpotensi mencapai tahap simpanan asas, iaitu sebanyak RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata seramai 3.1 juta atau 41.2 peratus ahli aktif KWSP sektor formal warganegara Malaysia berumur antara 18 dan 55 tahun telah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur setakat akhir tahun 2025.
“Ini menunjukkan bahawa masih terdapat 4.42 juta atau 58.8 peratus ahli sektor formal warganegara Malaysia yang belum mencapai tahap simpanan minimum yang disasarkan bagi memastikan kecukupan simpanan apabila bersara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ng Keng Heng mengenai anggaran rasmi kerajaan berhubung peratusan warganegara yang dijangka tidak mencapai tahap simpanan minimum yang mencukupi menjelang umur persaraan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Dalam pada itu, katanya kerajaan melalui KWSP komited untuk memastikan hakisan simpanan asas akibat pengeluaran awal dapat dikawal dengan memperkenalkan penanda aras RIA (Kecukupan Pendapatan Persaraan).
Beliau berkata RIA berfungsi sebagai panduan kecukupan simpanan persaraan bagi membantu ahli menilai kedudukan simpanan mereka sebelum membuat keputusan pengeluaran, sekali gus menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang yang lebih berhemah.
“Pada masa yang sama, pelbagai langkah memperkukuh simpanan terus dilaksanakan termasuk penstrukturan akaun termasuklah pengenalan kepada Akaun Fleksibel, galakan caruman sukarela serta promosi lebih aktif melibatkan i-Simpan, i-Saraan, i-Topup.
“KWSP turut mempergiat lagi kempen kesedaran bagi menggalakkan ahli tidak membuat pengeluaran penuh atau secara ‘lump sum’ yang boleh menjejaskan pendapatan selepas persaraan sebaliknya memilih opsyen pengeluaran secara bayaran bulanan,” katanya.
Untuk makluman, bilangan majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada 640,391 setakat Disember 2025 berbanding 614,563 pada 2024.
Selari dengan itu, bilangan pekerja sektor formal yang mencarum juga meningkat 3.3 peratus kepada 8.2 juta pada 2025 berbanding 7.9 juta pada 2024.
Perkembangan positif ini menyumbang kepada pertumbuhan caruman tahunan ahli KWSP warganegara kepada RM120.0 bilion pada 2025, 12 peratus lebih tinggi berbanding RM107.1 bilion pada 2024.
-- BERNAMA