SUKAN

Aksi Persahabatan Sebelum Lawan Vietnam Penting, Bergson Mungkin Boleh Main - Pekan

04/03/2026 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Skuad kebangsaan wajar mengharungi sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persediaan menjelang aksi terakhir Kumpulan F pusingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Ninh Binh pada 31 Mac.

Penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berkata langkah itu penting bagi memastikan pemain Harimau Malaya memperoleh minit permainan mencukupi selain meningkatkan tahap kecergasan menjelang perlawanan penting tersebut.

Beliau berkata perlawanan persahabatan juga memberi peluang kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan untuk menguji taktikal, sistem permainan serta mencuba formasi baharu.

“Saya berpandangan memang wajar jika Harimau Malaya dapat mengadakan sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan menjelang pertemuan penting kelayakan Piala Asia menentang Vietnam hujung bulan ini.

“Saya rasa pengurusan Harimau Malaya lebih arif dan peka dalam soal ini, tambahan pula pasukan kebangsaan kali terakhir beraksi sudah begitu lama, iaitu November tahun lepas (menang 1-0 ke atas Nepal),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa sama, Pekan berkata perlawanan pemanas badan itu juga boleh digunakan untuk menguji pemain baharu termasuk pemain naturalisasi sekiranya mereka telah layak mewakili negara.

“Mungkin juga ini peluang untuk mencuba sekiranya terdapat pemain naturalisasi baharu seperti Bergson (penyerang import Johor Darul Ta’zim dari Brazil, Bergson Da Silva) yang dikatakan sudah layak (proses naturalisasi) beraksi untuk negara pada perlawanan menentang Vietnam nanti,” katanya.

Beliau menjangkakan aksi menentang Vietnam bakal berlangsung sengit dengan keputusan perlawanan berkemungkinan ditentukan oleh kemenangan tipis.

“Kegagalan mengadakan perlawanan persahabatan menjelang pertemuan penting menentang Vietnam sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Pasukan negara kendalian Peter Cklamovski kini di ambang melayakkan diri ke Piala Asia 2027 apabila berada di tangga teratas Kumpulan F dengan rekod kemenangan 100 peratus, mengumpul 15 mata.

Vietnam yang tewas 0-4 pada aksi pertama di sini, merupakan pencabar terdekat selepas mengumpul 12 mata di tempat kedua diikuti Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal terakhir tanpa mata.

Hanya juara kumpulan layak ke Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi dari 7 Jan sehingga 5 Feb tahun depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530423