Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Hampir 50 vendor menyertai kempen Seindah Corak Aidilfitri anjuran Sunway Malls di seluruh rangkaian pusat beli-belahnya di seluruh negara, menawarkan pelbagai pilihan fesyen perayaan, aksesori dan kelengkapan raya menjelang Aidilfitri.
Pengarah Kanan Penjenamaan dan Komunikasi Sunway Malls Darren Chear berkata vendor terlibat ditempatkan di beberapa lokasi termasuk Sunway Putra Mall, Sunway Pyramid, Sunway Velocity dan Sunway Carnival.
pic-2
“Di Sunway Putra Mall, kami mempunyai kira-kira 15 vendor yang dipilih khas. Mereka merangkumi penjual baju Melayu serta perincian fesyen yang sinonim dengan musim perayaan ini, dan semuanya boleh didapati di Sunway Putra Mall,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran kempen berkenaan.
Kempen yang berlangsung selama sebulan itu diilhamkan daripada keindahan kebersamaan, warisan budaya dan kisah yang terjalin merentasi generasi.
Mengangkat seni tekstil tradisional Melayu seperti songket, batik, tenun dan tekat, kempen ini menampilkan motif klasik dalam suasana perayaan kontemporari di pusat beli-belah terlibat, menggabungkan elemen nostalgia dengan sentuhan reka bentuk moden.
pic-3
“Tahun ini, kami mengambil inspirasi daripada pelbagai corak batik seperti yang dapat kita lihat pada hiasan dan dekorasi, menampilkan pelbagai variasi batik yang ada di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls H.C. Chan kempen tersebut mencerminkan mesej sebenar Aidilfitri yang menyanjung tradisi dan menyatukan komuniti.
pic-4
“Melalui kempen ini, Sunway Malls menterjemahkan warisan budaya kepada pengalaman perayaan kontemporari yang mengajak komuniti untuk kembali berhubung dan meraikan perkara yang benar-benar bermakna. Ia merupakan satu perayaan yang dianyam indah melalui budaya, kreativiti dan hubungan,” katanya.
Chan berkata pelancaran kempen itu diserikan dengan aktiviti simbolik diinspirasikan daripada teknik cap batik tradisional yang menjadi elemen utama bahasa visual kempen berkenaan.
pic-5
Beliau juga berkata kempen direalisasikan menerusi kerjasama strategik dengan rakan kongsi yang senada dalam komitmen terhadap budaya, komuniti dan kreativiti, iaitu United Overseas Bank, jenama gaya hidup Jasmine serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebudayaan (ASWARA) yang menyumbang kepada pemerkasaan ekspresi budaya dan warisan seni.
Di Sunway Putra Mall, struktur utama berbentuk ketupat di ruang legar utama menyambut kedatangan, melambangkan nilai perpaduan, kesyukuran dan hubungan erat yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri.
-- BERNAMA