EKONOMI

PAC Gesa Felcra Nilai Semula Sasaran Bank Tanah 30,000 Hektar

03/03/2026 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) perlu menilai dan menetapkan semula sasaran perolehan bank tanah seluas 30,000 hektar kepada tahap yang lebih realistik.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ianya perlu dengan mengambil kira keupayaan kewangan, pelan perolehan yang jelas serta jaminan sumber pembiayaan yang mencukupi bagi mengelakkan risiko terhadap kelestarian kewangan syarikat dalam menampung kos operasi jangka panjang.

“Walaupun kedudukan kewangan kumpulan FELCRA kekal kukuh dengan keuntungan bersih yang konsisten dalam tempoh 2021 hingga 2024, sasaran perolehan bank tanah seluas 30,000 hektar di bawah Pelan Transformasi 2.0 menjelang 2025 hanya mencapai 13 peratus, iaitu 4,016.89 hektar.

“Kegagalan memperoleh bank tanah yang mencukupi ini menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan jangka panjang syarikat untuk menampung kos operasi dan mengekalkan daya saing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata PAC juga mendapati Lembaga Pengarah FELCRA meluluskan perolehan empat ladang sawit baharu daripada 33 tawaran bagi memenuhi sasaran 30,000 hektar di bawah Pelan Transformasi dan Hala Tuju Strategik FELCRA. Pembelian empat ladang tersebut dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman FELCRA.

“Keputusan pembelian empat ladang sawit itu dibuat berdasarkan kajian dalaman semata-mata tanpa penilaian usaha wajar oleh pihak luar seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Lembaga Pengarah.

“Isu kelemahan tadbir urus yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/202 mengenai pembelian ladang termasuk urusan menandatangani perjanjian yang tergesa-gesa (antara tujuh hingga 12 hari selepas kelulusan Lembaga Pengarah) serta rekod mesyuarat yang tidak teratur,” katanya.

Beliau turut berkata strategi FELCRA untuk membeli dan memulihkan ladang kurang berdaya maju yang lebih murah turut mendedahkan syarikat kepada risiko tempoh masa yang sangat panjang bagi mendapatkan semula modal pelaburan asal, apabila hasil sebenar estet yang dibeli didapati jauh berbeza berbanding unjuran awal.

“Akibatnya, tempoh Pulangan Pelaburan (ROI) terpaksa dilanjutkan kepada 11 hingga 22 tahun.

“Walaupun terdapat isu hasil dan sasaran yang tidak mencapai tahap seperti ditetapkan, prestasi keempat-empat ladang sawit yang diperoleh kini telah mula menunjukkan peningkatan,” katanya.

PAC juga turut mengemukakan sembilan syor keseluruhan bagi memperkukuh tadbir urus, menambah baik disiplin perolehan serta memastikan peluasan pada masa hadapan sejajar dengan keupayaan kewangan FELCRA.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529964