JAKARTA, 3 Mac (Bernama) -- Seramai 6,047 jemaah umrah Indonesia selamat kembali ke tanah air sejak serangan ke atas Iran bermula Sabtu lalu, manakala pihak berkuasa menasihati mereka yang dijadual berlepas dalam beberapa hari akan datang supaya menangguhkan perjalanan sehingga situasi keselamatan di Timur Tengah stabil.
Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Ichsan Marsha berkata 58,873 jemaah umrah Indonesia masih berada di Arab Saudi, menurut data Sistem Berkomputer Pengurusan Umrah dan Haji Khas setakat Ahad.
“Dari 28 Feb hingga 1 Mac 2026, seramai 6,047 jemaah selamat kembali tanah air dengan selamat. Kerajaan terus memantau proses itu bagi memastikan semua jemaah dapat pulang secara berperingkat dan teratur,” katanya lewat Isnin, seperti dilaporkan Agensi Berita ANTARA.
Pada Sabtu, 28 Feb, seramai 4,200 jemaah umrah pulang ke Indonesia menerusi 12 penerbangan, manakala pada Ahad, 1 Mac, seramai 2,047 lagi pulang menerusi lima penerbangan.
Ichsan berkata kerajaan terus memantau situasi keselamatan di Timur Tengah dan memberi tumpuan kepada keselamatan, perlindungan serta kebajikan jemaah umrah.
Beliau berkata seramai 43,363 bakal jemaah umrah daripada 439 Penganjur Perjalanan Ibadah Umrah (PPIU) dijadual berlepas sebelum musim haji pada 18 April.
“Kami memastikan setiap PPIU melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab mereka, daripada pengurusan pelepasan dan perkhidmatan sepanjang berada di Arab Saudi hingga kepulangan jemaah. Tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan.
“Kami menggesa jemaah dan PPIU supaya saling memahami. Keutamaan utama adalah memastikan semua jemaah kekal selamat, menerima perkhidmatan yang baik dan diberikan kepastian,” katanya.
Kerajaan menegaskan bahawa ia akan terus menyelaras dengan wakil Indonesia di luar negara menerusi Kementerian Luar bagi memastikan sebarang isu yang dihadapi jemaah ditangani dengan segera dan sewajarnya.
“Kami meminta semua jemaah supaya kekal tenang dan mematuhi arahan rasmi,” katanya.
-- BERNAMA