JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar IPT Didakwa Cemar al-Quran, Lakukan Hantaran Komunikasi Jelik

03/03/2026 12:07 PM

KUANTAN, 3 Mac (Bernama) -- Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lepas. 

Bagaimanapun, tertuduh S.Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad dan minta dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut Islam iaitu al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota di sini kira-kira 1.30 tengah hari pada 22 Feb lepas. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah menggunakan akaun laman portal Threads “ryandaselva” secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran suatu komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali dan dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Sharizat Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman dan Mohd Rusnizam Abdullah.

Pada prosiding itu, Sharizat mencadangkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan berikutan kesalahan berkenaan amat serius dan menimbulkan kegusaran masyarakat. 

Namun, Muhammad Amirull Afiqq dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan memandangkan pelajar tahun akhir di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)  itu masih ditanggung oleh bapanya yang bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan RM5,000 sebulan. 

Selain itu, peguam berkenaan turut memaklumkan tertuduh pernah dirujuk di sebuah klinik ketika masih bersekolah berkaitan gangguan psikologi. 

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan pelajar terbabit perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, serta menetapkan 8 April depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 25 Feb lepas, seorang pelajar UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529759