Pada 17 Feb lalu, keheningan pagi sebuah kawasan perumahan di sini digugah kelibat seorang remaja lelaki yang meluru keluar dari sebuah rumah, dan seterusnya membawa kepada penemuan mayat lima sekeluarga dalam keadaan tragis.
Sembilan hari kemudian, seorang lagi remaja lelaki berserta kakaknya yang berusia 19 tahun, menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan ibu, ayah dan tiga adik-beradik perempuan juga dalam keadaan tragis; maut dalam kebakaran rumah di Raub, kira-kira 222 kilometer dari sini.
Insiden pertama disebabkan oleh perbuatan jenayah ahli keluarga, sementara satu lagi belum dapat ditentukan, namun pengakhirannya sama; kanak-kanak yang baru melangkah ke alam remaja menjadi mangsa.
Dan seperti lazimnya dewasa ini, masyarakat membanjiri media sosial dengan pelbagai naratif serta spekulasi berhubung tragedi yang menimpa kedua-dua remaja itu tanpa memberikan perhatian akan kesan kejadian ke atas anak yang masing-masing baru berusia 15 tahun.
Realitinya, kata pakar, insiden sedemikian berisiko memberikan trauma mendalam kepada mangsa, lebih-lebih lagi jika melibatkan kanak-kanak dan remaja, meninggalkan parut emosi berpanjangan sekiranya mereka terus dibebani dengan kata-kata atau komen tidak “bertapis”, baik secara berdepan ataupun di media sosial.
GOLONGAN RENTAN
Berkongsi pandangan dengan Bernama, Pegawai Psikologi di Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Komuniti, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM) Norezzati Md Hanafiah berkata kanak-kanak dan remaja lebih terdedah kepada kesan psikologi trauma berbanding orang dewasa.
Tergolong dalam kelompok rentan, beliau berkata pada peringkat usia itu, mereka belum mempunyai kemahiran daya tindak yang baik seperti kebanyakan orang dewasa semasa menghadapi situasi yang memberi tekanan atau desakan dalam kehidupan.
“Selain itu, persepsi kanak-kanak dan remaja terhadap situasi yang berlaku di sekeliling juga memainkan peranan. Apatah lagi sekiranya kejadian tersebut melibatkan peristiwa yang sangat menyayat hati dan mengancam nyawa.
“Kesan psikologi juga menjadi lebih mendalam kepada kanak-kanak dan remaja sekiranya peristiwa yang berlaku melibatkan orang yang disayangi, kerana keterikatan emosi yang dirasai dengan individu berkenaan,” katanya.
GEJALA
Sementara itu, mentakrifkan trauma sebagai sesuatu yang biasanya dialami apabila seseorang terlibat dalam sebarang keadaan yang mendatangkan kecederaan fizikal dan mental, Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Paridah Mohd Ali berkata keadaan tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira bangsa, jantina ataupun umur.
“Namun dalam konteks kanak-kanak dan remaja, mereka lebih berisiko mengalami trauma kerana emosi yang belum matang.
“Dari segi gejala pula, oleh sebab mereka tidak pandai meluahkan melalui kata-kata, emosi yang terhasil akan ditonjolkan menerusi tingkah laku dengan kebiasaannya mereka akan mengalami masalah untuk takut bersendirian dan menangis tiba-tiba,” katanya, menambah dalam sesetengah kes gejala mungkin lebih parah.
Mengulas lanjut, beliau berkata gejala lain termasuk hilang selera makan, gangguan tidur, mudah panik dan pelbagai lagi yang di luar tingkah laku biasa.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati keluarga agar memberi perhatian kepada sebarang perubahan sikap yang ditunjukkan supaya tindakan intervensi dapat diambil bagi mengelakkan keadaan daripada menjadi bertambah parah.
“Keluarga, sebagai mereka yang paling akrab dengan individu begini, perlu sentiasa melindungi dan menemani mangsa serta mententeramkannya,” katanya kepada Bernama.
TEMPOH BERTENANG
Apabila gejala dikenal pasti, Paridah berkata mereka perlu diberikan tempoh bertenang sebelum bersedia menjalani sebarang bentuk intervensi atau rawatan.
“Tempoh bertenang ini berbeza bagi setiap individu terlibat dan bergantung pada keupayaan seseorang menangani isu tersebut. Sepanjang tempoh ini, mereka amat memerlukan sokongan daripada orang yang rapat dengan mereka.
“Perkara ini amat penting, terutamanya jika kanak-kanak itu juga menyaksikan sendiri perlakuan jenayah tersebut, agar mereka tidak diselubungi rasa bersalah dan pelbagai lagi emosi lain yang menghalang mereka daripada meluahkan perasaan,” katanya.
Sepanjang tempoh bertenang, beliau mengesyorkan agar remaja yang masih bersekolah dibenarkan belajar secara dalam talian di rumah.
“Rakan-rakan di tempat belajar juga perlu mengelak daripada mendesak dan bertanya tentang kejadian yang telah berlaku sehingga menyebabkan individu berasa terancam dan tertekan,” cadang beliau.
Beliau turut menasihati orang sekeliling agar mengelakkan penggunaan perkataan tertentu seperti “darah”, “bunuh” dan “mati” yang berisiko mencetuskan emosi mereka, terutamanya jika melibatkan saksi kes pembunuhan.
“Menjauhkan mereka daripada melihat atau menggunakan media sosial buat sementara waktu juga mampu memulihkan trauma yang dialami. Ini kerana akses ke media sosial juga boleh mengundang individu itu mengalami trauma berpanjangan kerana kisah ini mudah tersebar secara meluas,” kongsinya.
RAWATAN TRAUMA
Sementara itu, Norezzati daripada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM, berkata dari segi rawatan, gabungan pendekatan intervensi multidisiplin merangkumi psikiatri, kaunseling dan rawatan farmakologi berupaya memberi kesan pemulihan paling konsisten, kerana setiap disiplin membantu mengendalikan isu trauma daripada aspek yang berbeza.
Menurutnya, dari sudut kaunseling atau psikologi, penekanan diberikan kepada pengurusan emosi serta kemahiran membina strategik daya tindak yang lebih baik melalui sesi kaunseling, terapi berfokus seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT) dan lain-lain yang bersesuaian.
Katanya bidang psikiatri lebih memberi fokus kepada pengurusan simptom secara klinikal dan rawatan farmakologi mengikut keperluan selain sokongan keluarga juga memainkan peranan penting.
“Tambahan kepada intervensi tersebut adalah sokongan daripada keluarga dan orang terdekat dengan individu yang mengalami trauma, bagi memberi galakan kepada golongan ini untuk rasa diterima dan seterusnya lebih terbuka mendapatkan rawatan profesional,” katanya.
TEMPOH PEMULIHAN
Mengulas tempoh masa pemulihan, Norezzati berkata tidak ada tempoh masa yang ditetapkan untuk proses pemulihan trauma kerana perkara itu bergantung pada faktor di sekeliling.
Katanya terdapat individu yang pulih dalam tempoh beberapa bulan sahaja dengan rawatan konsisten dan ada pula yang memerlukan rawatan lebih lama.
“Namun, sokongan sosial, rawatan yang konsisten dan persekitaran yang sihat sangat memainkan peranan penting dalam menggalakkan proses pemulihan individu mengalami trauma,” katanya.
Selain itu, keluarga dan komuniti boleh membantu individu yang mengalami trauma dengan menghidupkan persekitaran yang tidak menghukum, empati, dan membuatkan individu rasa diterima walaupun dibelenggu gejala emosi yang melampau.
Mengulas lanjut, Norezzati berkata golongan ini perlu memberi perhatian kepada perubahan emosi dan tingkah laku, dengan mereka perlu mendapatkan bantuan segera sekiranya simptom yang dialami membawa kepada pemikiran untuk mencederakan diri sendiri.
BEBAS TRAUMA
Menyentuh pemulihan daripada trauma, pakar itu berkata kesembuhan daripada trauma tidak dilukur berdasarkan situasi “kanak-kanak ini tidak lagi menangis” atau “kanak-kanak ini nampak lebih gembira”, ataupun disebabkan dia sudah kembali ke sekolah, maka dia dianggap pulih.
“Trauma adalah satu bentuk respons emosi, oleh itu, pemulihan trauma perlu dilihat lebih mendalam daripada sekadar meneliti atau memerhati simptom luaran,” tegasnya, menambah seseorang dapat dikatakan semakin pulih berdasarkan beberapa ciri, antaranya pengurangan simptom klinikal.
“Sebagai contoh, jika sebelum ini, individu tersebut selalu dibayangi ‘flashback’ kejadian yang menyedihkan, atau mungkin juga mimpi buruk, maka bayangan tersebut akan mulai perlahan-lahan lenyap dan kekerapan ‘flashback’ muncul juga berkurangan.
“Selain itu, apabila individu sudah mula boleh berfikir secara rasional dan sedar nilai kendiri, maka, ini juga adalah antara tanda-tanda individu sudah mula pulih,” katanya.
Menegaskan kepentingan mengenal pasti dan merawat trauma dari awal, Norezzati berkata jika dibiarkan, keadaan perubatan itu boleh berlanjutan dan seterusnya berisiko menjadi gangguan mental.
“Amat penting untuk mangsa diberikan intervensi awal bagi mencegah simptom trauma ini daripada berisiko menjadi gangguan mental seperti kemurungan dan gangguan tekanan pascatrauma atau PTSD dan lain-lain,” tegasnya.